B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Perodua tingkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan

Perodua tingkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan

20 Jul 2022

Perodua merancang untuk meningkatkan pengeluaran untuk menyelesaikan isu tempoh menunggu yang lama berikutan jumlah tempahan yang meningkat, yang kini berjumlah 243,000 unit. 

Pengeluar kereta itu menghadapi kekurangan bekalan cip semikonduktor dan pekerja asing, menyebabkan tempoh menunggu yang lebih lama kira-kira enam hingga tujuh bulan bergantung kepada model kereta, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Bagi menyelesaikan masalah kekurangan cip, Perodua telah mencari pembekal alternatif supaya ia boleh mendapatkan sumber daripada vendor lain, katanya kepada pemberita selepas pelancaran Perodua Alza serba baharu di sini hari ini.

Penggunaan komponen tempatan boleh melindungi Perodua daripada situasi tidak menentu yang berlaku dalam pasaran antarabangsa, katanya sambil menambah model Alza serba baharu itu mempunyai kadar komponen tempatan yang tinggi sebanyak 95 peratus.

Tempahan untuk Alza baharu bermula pada 23 Jun pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk varian AV bagi Semenanjung Malaysia dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tetapi tanpa insurans.

Mengenai isu pekerja asing, katanya perkara itu sedang diselesaikan secara berperingkat. 

“Bagi Perodua, situasi itu tidak akan memberi impak yang besar kepada pengeluaran sekurang-kurangnya pada tahun ini. Sasaran (jualan) masih di landasan untuk tahun 2022,” katanya.

Perodua menyasarkan jualan sebanyak 247,800 unit pada 2022, meningkat sebanyak 30.2 peratus daripada 190,291 unit kenderaan yang dijual pada tahun lepas.

Zainal Abidin berkata langkah mengimbangi pengeluaran akan dilakukan untuk memastikan isu tempoh menunggu dapat ditangani, terutamanya dalam kalangan model kegemaran rakyat Malaysia seperti Perodua Myvi, Alza dan Aruz.

“Kita perlu menguruskan model ini dengan berhati-hati. Kita perlu (mencapai) keseimbangan,” katanya, sambil menambah mungkin tempoh menunggu untuk Aruz boleh (diselaraskan kepada) kurang tiga bulan manakala untuk Alza, boleh lebih tiga bulan.

Syarikat telah mencatatkan tempahan sebanyak 30,000 unit, merupakan yang tertinggi dan daripada jumlah tempahan setakat ini, hampir 15 peratus daripadanya adalah untuk Alza baharu, katanya sambil menambah syarikat menyasarkan untuk mengeluarkan 3,000 unit model itu setiap bulan.

Katanya kira-kira 4,300 unit Alza dijangka didaftarkan pada bulan ini.

“Unit pertama Alza serba baharu ini telah didaftarkan hari ini dan akan mula dihantar,” katanya.

Secara keseluruhan, Perodua telah melabur sebanyak RM770 juta untuk membangunkan Alza serba baharu sejak April 2018.

Mengenai impak daripada pengecualian SST yang telah berakhir, beliau berkata masih terlalu awal untuk menilai impaknya terhadap permintaan.

Ditanya mengenai kemungkinan pengeluaran kenderaan elektrik (EV), beliau berkata Perodua masih mengkaji perkara itu.

“Ia dalam peringkat perancangan. Kita akan membuat pengumuman apabila wujud kerjasama konkrit dengan syarikat nasional lain,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan Perodua menjalin kerjasama dengan syarikat utiliti nasional, Tenaga Nasional Bhd untuk memperkenalkan kadar caj EV mampu milik kepada rakyat.

Ismail Sabri berkata TNB kini sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran tenaganya dengan menggunakan sumber tenaga boleh baharu dan menyediakan stesen pengecasan EV yang mencukupi.

“Pada masa sama, Perodua boleh menggunakan peluang ini dengan meneroka bidang baharu seperti menghasilkan EV yang berkualiti tinggi dan mampu dimiliki oleh Keluarga Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X