B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Perdagangan Malaysia-China dijangka cecah rekod tertinggi tahun ini — MITI

Perdagangan Malaysia-China dijangka cecah rekod tertinggi tahun ini — MITI

17 Sep 2022

Perdagangan dua hala antara Malaysia-China dijangka mencapai rekod tertinggi baharu dengan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong.

Perdagangan akan tetap berkembang walaupun impak pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan global yang disebabkan oleh krisis geopolitik sedang berlaku, kata Lim.

“Perangkaan perdagangan China terkini menunjukkan perdagangan Malaysia-China secara menyeluruh dalam tempoh lapan bulan pertama 2022 telah mencecah US$131.21 bilion, berkembang 21.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam ucapan pembukaan Dialog Meja Bulat Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (Cabis) ke-19 antara Malaysia dan ketua-ketua pegawai eksekutif dari China. 

Pada 2021 sahaja, sebanyak 43 projek perkilangan telah diluluskan dari China bernilai US$3.98 bilion, menjana hampir 14,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

“Malaysia mengalu-alukan lebih banyak kerjasama perniagaan dari China dalam bidang pertumbuhan kompleks serta baharu kerana ini akan memupuk inovasi, selain mengukuhkan hubungan rantaian bekalan antara syarikat Malaysia dan China. 

“Penyambungan semula hubungan perjalanan antara Malaysia dan China merupakan langkah penting ke hala tuju yang betul termasuk Malaysia berharap untuk menerima lebih ramai pelancong perniagaan dari China,” katanya. 

Lim seterusnya menekankan Malaysia adalah antara penyokong awal Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China serta kekal komited dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dengan semua negara peserta BRI.

Beliau seterusnya menekankan bahawa Malaysia komited untuk memudahkan pelaburan berkualiti dari China dan akan terus meningkatkan cadangan nilai unik negara bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Cadangan unik ini merangkumi pelbagai elemen termasuk insentif, fasilitasi, bakat, infrastruktur, mekanisme undang-undang, pengawalseliaan, prosedur dan institusi,” katanya.

Lim ketika mengulas mengenai hubungan ASEAN-China berkata ASEAN dan China perlu mempergiatkan usaha dalam bidang perdagangan dan pelaburan. 

“Kita mesti terus bekerjasama dan menunjukkan sokongan positif dalam perjanjian ekonomi berasaskan peraturan dan pelbagai hala bagi membantu rantau ini mengharungi krisis selepas pandemik,” katanya sambil menambah bahawa kedua-dua pihak perlu berusaha untuk memastikan hubungan rantaian bekalan tidak terganggu termasuk memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan penting serta rakyat.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon