B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pengumuman pelaburan besar digital di Malaysia dalam masa terdekat – Rafizi

Pengumuman pelaburan besar digital di Malaysia dalam masa terdekat – Rafizi

21 Feb 2023

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, akan ada pengumuman mengenai pelaburan yang besar berkaitan bidang digital di Malaysia dalam masa terdekat.

“Bukan sahaja pengumuman itu adalah satu berita baik kepada ekonomi negara, tetapi ia perlu disambut dan dijadikan sebagai satu pemangkin untuk kita mempercepatkan segala perancangan yang ada dalam rangka tindakan ekonomi digital negara,” katanya pada perjumpaan bulanan bersama warga kementerian, di sini hari ini.

Rafizi berkata, selain itu, kementerian akan menganjurkan hackathon kebangsaan pada bulan depan sebagai sebahagian daripada usaha kementerian itu untuk mengarus perdana inovasi melibatkan sebanyak mungkin penyertaan.

“Ini berikutan sebelum ini, inovasi dilihat sebagai satu bahagian kecil, hanya untuk orang tertentu sahaja. Sedangkan untuk ekonomi kita berkembang maju, kita perlukan satu kumpulan yang boleh menyumbang dalam produk dan perkhidmatan yang berinovasi tinggi, barulah boleh disambut dengan baik oleh segala bantuan dan sistem yang telah kita ada dalam sektor awam dan swasta,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Rafizi berkata, kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan berhubung isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan untuk melakukan siasatan.

“Pihak berkuasa yang bertanggungjawab ada kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat. Biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara, pendakwa raya dan hakim siasat dengan tangan yang bebas kerana tidak ada campur tangan,” katanya ketika ditanya sama ada siasatan masih perlu diteruskan.

Pada 4 Ogos lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan telah selesai mengadakan sembilan prosiding berhubung isu LCS dengan memanggil beberapa saksi.

Hasil prosiding itu mendapati kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, namun tiada satu pun kapal LCS disiapkan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon