Penggunaan EV: Johor cadang wujud mekanisme libatkan industri - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Penggunaan EV: Johor cadang wujud mekanisme libatkan industri

Penggunaan EV: Johor cadang wujud mekanisme libatkan industri

22 Mac 2023

Kerajaan negeri bercadang mewujudkan satu mekanisme teratur melibatkan industri terlibat bagi menyokong penggunaan kenderaan elektrik (EV) pada masa hadapan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia selaras dengan usaha kerajaan negeri yang mahu mempertingkatkan penggunaan EV di negeri itu pada masa hadapan.

Katanya, ia juga selari dengan inisiatif Singapura yang akan menghentikan pendaftaran kereta menggunakan petrol pada 2030.

“Johor tidak boleh elak, bermaksud Johor (kena) ada perancangan untuk mengadakan usaha sama dengan pihak berkuasa tempatan.

“Saya akan bincang dengan Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri (Tan Sri Dr Azmi Rohani) supaya ada satu mekanisme yang lebih teratur dan juga strategik melibatkan industri yang mempunyai punca kuasa untuk…(menyokong) strategi kita (berhubung EV) untuk tahun-tahun akan datang,” kata beliau ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Menteri Besar juga berkata pada lawatan kerja ke Singapura bulan lepas, pertemuannya dengan Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran ada menyentuh mengenai perancangan republik itu berkenaan penggunaan kenderaan EV di negara itu.

Selain itu, Onn Hafiz (BN-Machap) turut menyebut mengenai cadangan mewujudkan laluan feri ketiga ke republik itu menerusi feri terminal Puteri Harbour, di sini, ke Tuas, Singapura.

“Walaupun begitu, ini masih lagi dalam proses perancangan dan semestinya memerlukan kelulusan di peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia sebelum dibawa ke peringkat MOT Singapura,” katanya.

Selain Iswaran, Onn Hafiz turut bertemu Menteri Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura Grace Fu dan empat syarikat yang ingin melabur di Johor, selain menghadiri sesi dialog bersama Singapore Manufacturing Federation (SMF).

“Secara keseluruhannya, pelbagai perkara telah dibincangkan dalam sesi lawatan ini khususnya isu melibatkan hubungan dua hala antara Singapura dan negeri Johor.

“Sesi lawatan ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri Johor berdasarkan kepada peluang pengembangan ekonomi domestik dan antarabangsa melalui hasil perjumpaan dengan menteri-menteri di Singapura dan pelabur-pelabur berpotensi.

“Justeru, tindakan susulan daripada jabatan dan agensi berkaitan perlu bagi merealisasikan segala perancangan agar mencapai matlamat kerajaan negeri,” katanya.

Onn Hafiz menjawab soalan Ketua Pengimbang Johor Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) yang mahu mengetahui apakah hasil perbincangan dan pertemuan rombongan kerajaan Johor ke Singapura pada 12-14 Feb lepas, yang merupakan lawatan kerja keempat Onn Hafiz ke republik itu sejak dilantik sebagai menteri besar pada Mac, 2022.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon