B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Pendirian pro-perniagaan Malaysia tarik lebih banyak syarikat Perancis

Pendirian pro-perniagaan Malaysia tarik lebih banyak syarikat Perancis

30 Jun 2021

Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan kegemaran di Asia Tenggara untuk syarikat asing, kata Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia (CCIFM) Datuk Zainal Amanshah.

Beliau berkata pendirian pro-perniagaan oleh pemimpin negara dan agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyaksikan pelaksanaan dasar dan insentif bagi memudahkan pelaburan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang menarik.

“Selain dari sambutan hangat dan berada di tengah-tengah pasaran 600 juta orang, Malaysia merupakan antara kalangan negara yang keseluruhan terbaik daripada banyak petunjuk yang anda perlukan untuk yakin menubuhkan perniagaan anda.

 “Pelabur Perancis seperti kebanyakan pelabur, mereka memerlukan kestabilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CCIFM berkata sejak penubuhannya pada 1991, keanggotaannya telah meningkat daripada 19 ahli pengasas kepada lebih 300 syarikat anggota merentasi semua industri dan sektor perkhidmatan hari ini, sambil menambah ia telah menyokong beratus-ratus syarikat Perancis dan Malaysia dalam membangunkan perniagaan mereka di kedua-dua negara.

“Terdapat kira-kira 500 entiti sah di sisi undang-undang yang dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan Perancis, menggaji lebih daripada 30,000 orang dengan jumlah perolehan sebanyak 5 bilion euro (1 euro = RM4.94),” katanya.

Sementara itu, Presiden CCIFM Gilles Waeldin berkata kebanyakan syarikat Perancis yang telah menjejakkan kaki di Malaysia terus kekal di sini dan mengembangkan perniagaan mereka sejak 30 tahun lalu.

Menurut MIDA,126 projek pembuatan dengan penyertaan Perancis bernilai RM4.36 bilion telah dilaksanakan di dalam negara, mewujudkan hampir 11,000 pekerjaan tempatan sejak 40 tahun lalu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X