B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pemulihan ekonomi selepas PKP ambil masa panjang – Azmin

Pemulihan ekonomi selepas PKP ambil masa panjang – Azmin

26 Jan 2021

Gesaan untuk kerajaan melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya bagi mengekang penularan gelombang ketiga COVID-19, perlu dipertimbang bersama-sama dengan beberapa strategi lain.

Ia berikutan pemulihan ekonomi pasca perintah berkurung akan mengambil masa lama untuk kembali mencatatkan pertumbuhan positif, seperti selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata alternatif lain antaranya kerajaan boleh mempertimbang untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi wabak dikesan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga boleh memperkenalkan perancangan geospatial, meningkatkan pelaksanaan ujian saringan bersasar dan mengawal harga kit ujian RTK-Antigen supaya kos saringan lebih murah, sekali gus boleh dilakukan dengan lebih meluas, khususnya untuk pihak industri.

“Cadangan lain termasuk memperketat SOP majlis sosial serta mengekalkan larangan rentas negeri.

“Walau apa pun, gesaan utama adalah untuk perniagaan yang sebelum ini mematuhi peraturan kembali beroperasi, namun dengan SOP yang lebih ketat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kadar pertumbuhan ekonomi yang perlahan pasca PKP tahun lalu, menepis tanggapan kononnya ekonomi akan kembali pulih dalam sekelip mata selepas perintah berkurung itu ditamatkan.

Hakikatnya, kata Mohamed Azmin, ekonomi negara bukan beroperasi dalam mod ‘suis tutup dan buka’, sebaliknya pemulihan ekonomi akan mengambil masa yang panjang.

Katanya, Malaysia mencatatkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga -17.1 peratus pada suku kedua tahun lalu ketika PKP dilaksanakan, namun berjaya meningkatkannya kepada -2.7 peratus pada suku ketiga menerusi pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM320 bilion.

“Walaupun ia menunjukkan keberkesanan pakej rangsangan itu, perlu diingatkan ia masih memerlukan sekurang-kurangnya satu suku tahunan lagi atau lebih, sebelum pertumbuhan ekonomi kembali positif.

“Ini menunjukkan walaupun usaha pemulihan ekonomi yang bersungguh-sungguh, ia tetap mengambil masa yang panjang untuk ekonomi kembali positif selepas PKP ditamatkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menekankan kepentingan libat urus dan pemerkasaan komuniti untuk mengatasi penularan COVID-19 kerana pandemik itu bermula dan tersebar dalam komuniti, sekali gus penyelesaiannya adalah menerusi sikap, penyesuaian diri dan pematuhan oleh masyarakat.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengakui sokongan kukuh dan kerjasama oleh industri dan rakyat dalam pemulihan dan kestabilan ekonomi ketika pandemik COVID-19.

“Sinergi awam-swasta-rakyat adalah tawaran nilai penting dalam pembangunan negara dan perlu diterima semua pihak,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X