B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembuat pakaian dalam Caely laksana kerjasama di Indonesia

Pembuat pakaian dalam Caely laksana kerjasama di Indonesia

06 Feb 2022

Caely Holdings Bhd yang tersenarai di Pasaran Utama, Bursa Malaysia berharap dapat merealisasikan usaha sama (JV) di Indonesia tahun ini untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya bagi menampung permintaan global yang semakin meningkat bagi pakaian dalam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Gok Ching Hee berkata syarikat sedang memuktamadkan terma dan syarat perjanjian dengan bakal rakan kongsi JV tersebut, yang kemudian akan melabur untuk kilang di republik itu.

“Rakan kongsi JV kami akan melabur untuk kilang itu, yang mungkin siap pada Mei atau Jun tahun ini. Kami menyasar untuk menandatangani perjanjian JV pada akhir Mac,” katanya.

Beliau berkata destinasi eksport utama Caely untuk produk pakaian dalam di bawah pengeluar barangan tulen (OEM) ketika ini ialah Jerman, Amerika Syarikat dan Kanada, namun, baru-baru ini pihaknya mula mendapat lebih banyak pertanyaan daripada syarikat di Turki, Perancis dan Australia.

Pertanyaan syarikat berkenaan sudah menggandakan kapasiti pengeluaran sedia ada Caely, yang mendorong keputusan syarikat untuk berkembang lagi, dengan kilang di Indonesia disasarkan untuk meningkatkan kapasiti sebanyak tiga kali ganda berbanding dengan kilang di Teluk Intan, Perak, katanya.

“Kami percaya jumlah pesanan yang besar yang kami terima baru-baru ini adalah disebabkan syarikat-syarikat berkenaan beralih daripada mendapatkan produk mereka dari China dan kami mendapat manfaat daripada perang perdagangan di arena antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan momentum tempahan yang semakin meningkat, pihaknya yakin akan dapat menggunakan kapasiti kilang di Indonesia.

Caely, ditubuhkan pada 1986 untuk membuat pakaian dalam wanita, memperuntukkan RM5 juta sebagai modal kerja pada Oktober 2021 untuk mempelbagaikan produk termasuk pengeluaran pelitup muka fabrik.

Beliau berkata syarikat juga akan menggunakan sebahagian daripada pelaburan tersebut untuk membuat pakaian sukan, pakaian tidur dan pakaian kanak-kanak tidak lama lagi.

“Kami telah menandatangani perjanjian pelesenan dengan Disney dan ini telah membuka banyak peluang kepada kami memandangkan kami boleh membuat pakaian jenama Disney,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah merancang untuk akhirnya memindahkan pembuatan pakaian dalam ke Indonesia manakala kilang di Malaysia akan menumpukan pada pengeluaran pelitup muka dan pakaian lain. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon