B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembangunan tenaga kerja penuhi keperluan industri

Pembangunan tenaga kerja penuhi keperluan industri

19 Jan 2021

MIDA tingkat usaha lahir pekerja tempatan berdaya maju

Kemunculan teknologi disruptif diikuti dengan pandemik COVID-19 merangsang teknologi automasi dan digital sebagai satu norma baharu dalam melaksanakan aktiviti perniagaan.

Pandemik ini memberi impak besar terhadap ekonomi dan pasaran kewangan, termasuk pengurangan pendapatan yang ketara, peningkatan kadar pengangguran serta gangguan ke atas sistem penawaran dan permintaan yang saling berkaitan dalam ekonomi global.

Semua industri mesti mempercepatkan penerapan teknologi baharu dalam mewujudkan pendekatan yang lebih baik bagi mengurangkan impak negatif perniagaan.

Penggunaan automasi dan digitalisasi memberikan rangsangan perniagaan sangat diperlukan untuk kesinambungan stabil dalam gelombang perniagaan berisiko, terutama ketika pengurangan produktiviti yang disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan masyarakat.

Industri jentera dan peralatan (M&E) di Malaysia berkembang daripada pengeluaran mesin serta peralatan yang ringkas bagi industri asas kepada mesin dan peralatan berintegrasi, bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi untuk industri khusus seperti; semikonduktor, kenderaan autonomi, robotik, sains hayat, metrologi serta pertahanan dan keselamatan.

Sebagai perbandingan, pada 2010 terdapat kira-kira 25 syarikat automasi dan peralatan teknologi tempatan di Malaysia, dengan nilai pasaran sebanyak RM234 juta.

Pada masa kini, ada lebih daripada 50 syarikat automasi beroperasi, dengan 10 syarikat utama yang mempunyai jumlah nilai pasaran terkumpul melebihi RM25 bilion.

Vitrox Technologies Sdn Bhd adalah sebuah syarikat tempatan dan antara pemain utama di pasaran global dalam peralatan automasi bagi pemeriksaan secara penglihatan (automated advanced vision inspection solutions) untuk industri semikonduktor dan elektronik, telah mengambil inisiatif untuk bergerak seiring dengan gelombang teknologi global.

Syarikat juga telah membuat pelaburan melebihi 12 peratus daripada pendapatannya dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak 10 tahun yang lalu. 66 peratus daripada jumlah tenaga kerja syarikat mempunyai latar belakang teknikal.

Pada tahun 2019, jumlah tenaga kerja untuk bahagian kejuruteraan syarikat meningkat daripada 348 kepada 413 orang, peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding 2018.

Tanpa komitmen tinggi terhadap pembangunan teknologi melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kejuruteraan, Vitrox tidak akan dapat mencapai tahap kejayaan yang dicapai pada hari ini.

Berdasarkan pengalaman dalam inovasi teknologi dan transformasi digital, Vitrox menekan bahawa kapasiti teknikal tenaga kerja harus dipupuk berdasarkan permintaan yang semakin meningkat dan keperluan yang mendesak untuk masa hadapan.

Ini merujuk kepada pekerjaan yang berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), memandangkan tenaga kerja ini memainkan peranan penting di dalam menentukan masa hadapan industri serta ekonomi negara.

Seperti yang diunjurkan di dalam Kajian Nasional mengenai Modal Insan (2012), Malaysia memerlukan lapan juta pekerja di dalam bidang STEM menjelang 2050.

Pada peringkat global, Forum Ekonomi Dunia (WEF) melaporkan bahawa 75 juta bidang pekerjaan semasa akan digantikan dengan mesin dan aplikasi algoritma, manakala 133 juta bidang pekerjaan baharu akan wujud pada masa yang sama; di mana pengwujudan pekerjaan baharu dijangka berkembang daripada 16 peratus kepada 27 peratus menjelang 2022.

Bidang pekerjaan yang dijangka semakin meningkat termasuk penganalisis data saintis; kecerdasan buatan (AI) & pakar pembelajaran mesin, penganalisis perisian dan aplikasi, pakar big data, pakar transformasi digital dan pakar perkhidmatan teknologi maklumat.

Bagi mengekalkan kepentingan bidang STEM dalam menentukan masa hadapan Malaysia, Pelan Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menggariskan inisiatif strategik yang akan dilaksanakan secara bersama oleh kementerian berkaitan.

Selaras dengan inisiatif tersebut, kerajaan telah melancarkan Dasar Sains dan Pendekatan Teknologi yang menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar memfokuskan kepada subjek Sains.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program mentor-mentee, duta STEM dan program teater mini STEM.

Selain itu, kerajaan akan terus memperkukuhkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET. Di bawah Belanjawan 2021, sejumlah RM6 bilion diperuntukkan untuk menyokong program TVET.

Sebagai agensi utama kerajaan dalam promosi pelaburan dan pembangunan industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meningkatkan usaha dalam menyediakan tenaga kerja tempatan berdaya maju agar sejajar dengan keperluan bidang pekerjaan masa hadapan, bagi meningkatkan daya saing negara dalam menjadi sebuah destinasi pelaburan pilihan.

MIDA bekerjasama dengan penggubal dasar di kementerian berkaitan, pemain industri dan institusi akademik untuk menjalankan beberapa inisiatif seperti Program Latihan (Internship) Teknikal, Pameran E-kerjaya, Program Perantisan MIDA dan Program Pasca Sekolah dalam Rekabentuk IC (PSFP-IC), untuk memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan dan seiring dengan perkembangan teknologi yang berterusan.

Proses penyediaan tenaga kerja untuk keperluan industri pada masa hadapan bukanlah sesuatu yang mudah.

MIDA akan terus menawarkan sokongan dan kolaborasi dengan pelbagai pihak yang berkaitan untuk merangka pelan tindakan bagi memastikan pelajar serta tenaga kerja tempatan dapat melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi terkini untuk memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Sejajar dengan Malaysia menuju ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), pencapaian teknologi adalah penting dalam mewujudkan persekitaran hidup yang cerdas, dinamik dan mapan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon