Pembangunan Taman Perindustrian Pintar NCT dianggar RM10 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembangunan Taman Perindustrian Pintar NCT dianggar RM10 bilion

Pembangunan Taman Perindustrian Pintar NCT dianggar RM10 bilion

07 Apr 2023

NCT Group of Companies (NCT Group) melancarkan Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP), projek utama dalam Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM10 bilion.

NSIP membabitkan keluasan keseluruhan 296.43 hektar, dijangka menampilkan infrastruktur termaju, kecerdasan buatan (AI), teknologi internet kebendaan (IoT), analisis data terkini dan pelbagai kemajuan terkini lain dalam pendigitalan serta automasi dengan pembangunan keseluruhan 10 tahun.

Fasa pertama berkeluasan 93.08 haktar daripada tiga fasa pembangunan taman perindustrian itu akan terdiri daripada 101 unit dan 27 plot yang menampilkan kilang semi-D, kilang berkembar, kilang berkembar pautan dan plot perindustrian sehingga 20.23 hektar dengan anggaran GDV RM2 bilion dijangka siap menjelang suku keempat 2025.

Sebagai Taman Perindustrian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan pensijilan GreenRE, NSIP akan dilengkapi sepenuhnya dengan kilang sedia solar, sistem penuaian air hujan, serta sistem pengurusan air dan sisa, bagi mengurangkan jejak karbon industri dan komersial serta menggalakkan amalan perniagaan yang mampan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NCT, Datuk Seri Yap Ngan Choy, berkata sebagai Taman Perindustrian Terurus (MIP) pertama Selangor, NSIP menyasarkan untuk mencipta sistem pintar dan bersambung yang membolehkan operasi lancar sambil memperkemas aliran proses hujung ke hujung untuk pelabur.

Katanya, NSIP dijangka menjadi hab untuk elektrik & elektronik (E&E), semikonduktor, logistik pintar dan pengangkutan serta industri berinspirasikan 4IR.

“NSIP ialah projek berwawasan yang bukan sahaja mewujudkan ekosistem yang merangkumi teknologi dan inovasi tetapi juga memberi peluang kepada pelabur yang berfikiran sama untuk beroperasi dalam persekitaran digital yang unik dan maju dari segi teknologi untuk perniagaan mereka berkembang maju.

“Menerusi projek mega ini, kami berharap dapat mewujudkan lebih daripada 50,000 pekerjaan semasa pembinaan bersama-sama dengan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia sebaik sahaja ia siap,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah NSIP di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah NSIP disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Yang turut serta, Speaker Kerajaan Negeri Selangor, Ng Suee Lim.

Ngan Choy berkata, dengan sokongan Invest Selangor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), NSIP berjaya mendapatkan pelabur pertamanya dari China, YuePu untuk pembelian kawasan tanah seluas 19.45 hektar.

“Kami berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai dan percaya bahawa NSIP akan diiktiraf sebagai kemuncak destinasi yang komprehensif dan bersepadu untuk bekerja, hidup, bermain dan belajar, menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi memberikan lebih kemudahan menjalankan perniagaan, NSIP akan berfungsi sebagai pusat sehenti dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Invest Selangor, MIDA, The Human Resource Development Corporation (HRD Corp) serta pihak berkuasa tempatan.

“Kemudahan ini bertujuan untuk membantu pelabur dalam NSIP mengembangkan perniagaan mereka dengan menawarkan penyelesaian kepada pelesenan perniagaan, cukai dan perkara berkaitan insentif.

“NCT telah bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Telekom Malaysia Bhd, Solarvest Holdings Bhd, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Microsoft Malaysia dan banyak lagi untuk melengkapkan sepenuhnya MIP demi memenuhi keperluan perniagaan dan pengguna yang berkembang pada hari ini dan pada masa hadapan.

“Salah satu ciri menonjol taman perindustrian ini ialah Kuarters Pekerja Terurus Berpusat AI (CLQ) yang menyediakan penginapan berkualiti tinggi kepada sehingga 30,000 pekerja.

“Selain itu, NSIP juga mempunyai pusat komersial untuk menjadikan taman perindustrian ini sebagai peneraju dalam pasaran Malaysia sambil meningkatkan imej korporat perniagaan yang terletak di dalam taman itu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon