B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan US$1 bilion Microsoft manifestasi keyakinan terhadap strategi ekonomi Malaysia

Pelaburan US$1 bilion Microsoft manifestasi keyakinan terhadap strategi ekonomi Malaysia

21 Apr 2021

Pelaburan bernilai US$1 bilion oleh Microsoft Corp ke dalam Malaysia baru-baru ini memberi mesej kepada pelabur global bahawa syarikat utama seperti Microsoft mempunyai keyakinan kukuh terhadap dasar ekonomi dan pendekatan ke atas modal insan oleh kerajaan di samping infrastruktur moden yang dimiliki negara ini.

Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed berkata ia menunjukkan kerajaan juga telah menetapkan strategi tepat termasuk melibatkan bukti kepada pelabur global bahawa Malaysia merupakan hab teknologi Asia Tenggara.

“Kestabilan makroekonomi negara menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelabur seperti Microsoft.

“Lebih-lebih lagi syarikat teknologi, seperti FaceBook, Tencent dan Huawei, yang akan mempertimbangkan Malaysia sebagai hab Asia Pasik mereka dalam usaha memacu keberuntungan dan unjuran pertumbuhan mereka, didorong keyakinan positif pelabur terhadap negara dan dasar kerajaan ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sejak lima tahun lepas, Malaysia telah menarik pelabur yang mencari pertumbuhan jangka panjang dan kestabilan serta kekonsistenan dalam instrumen dasar kerajaan.

Shan berkata berasaskan pelaburan bernilai US$1 bilion itu, kerajaan telah memberi mesej positif ke seluruh dunia yang menandakan trajektori kukuh baharu dari segi pertumbuhan dan unjuran negara.

“Di Juwai IQI, kami terus mengekalkan keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia, dipacu oleh produktiviti buruh, yang mahir berbahasa Inggeris, cekap teknologi dan berorientasikan hasil.

“Berasaskan pelaburan ini yang memasuki Malaysia, ia akan melonjakkan unjuran terhadap industri pembuatan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan serta logistik dalam negara sekali gus menyediakan hala tuju baharu kepada pelabur, yang akan diikuti oleh pemimpin industri lain,” katanya.

Beliau berkata pelaburan itu hadir ketika kerajaan melaksanakan tindak balas terhadap pandemik COVID-19 menerusi dasar positif yang diterima baik oleh pelabur global seperti Microsoft.

“Di Juwai IQI kami mengekalkan pendirian kami bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka pada 3.0 hingga 4.0 peratus tahun ini dengan peningkatan untuk mencecah 5.0 peratus pada akhir tahun.

“Pada akhirnya, dasar ekonomi kerajaan bertumpuan teknologi akan merangsangkan pertumbuhan bagi tempoh sukuan dan tahun-tahun akan datang. Malaysia bersedia untuk menjadi hab data/awan bagi banyak syarikat teknologi di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Pada Isnin lepas, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaburan bernilai US$1 bilion oleh Microsoft bagi tempoh lima tahun akan datang di Malaysia menerusi inisiatif  “Bersama Malaysia” yang dijangka mewujudkan sebanyak 19,000 pekerjaan, termasuk berkaitan teknologi maklumat (IT) dalam kalangan pengguna perkhidmatan awannya.

Menurut Perdana Menteri, di bawah inisiatif itu, Microsoft turut menjalin lima kerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat termasuk Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Petronas, Celcom dan Grab.

Sementara itu, berkongsi sentimen sama, Profesor di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng berkata pelaburan Microsoft membabitkan penubuhan sebuah pusat data di Malaysia juga memaparkan rangsangan penting terhadap sentimen pelabur.

“Ini berlaku tepat pada masanya ketika terdapat kebimbangan mengenai prestasi FDI di negara ini yang berkurangan, terutama pada 2020. Walaupun ini (pelaburan Microsoft) bukanlah berperanan sebagai pengubah keadaan, tetapi ia sudah jelas membuktikan keyakinan kukuh sebuah syarikat global terhadap prospek pertumbuhan Malaysia serta potensi pembangunan perkhidmatan pusat data,” katanya.

Beliau juga menyifatkan FDI tersebut berpotensi melonjakkan aspek pendigitalan di sektor awam dan swasta Malaysia selain berupaya menarik penyertaan lebih banyak penyedia perkhidmatan data.

Menurutnya, pada masa sama, aspek inovasi dan pelaksanaan penyelesaian digital itu juga dapat menyuntik impak positif dalam usaha meningkatkan produktiviti serta daya saing yang merentasi semua sektor ekonomi.

“Pelaburan itu tidak hanya sekadar isyarat keyakinan sebuah firma perisian terbesar dunia terhadap prospek pertumbuhan negara ini, tetapi juga ke atas rancangan pendigitalan bagi transformasi ekonomi Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Sejajar dengan kedudukan strategiknya di salah satu rantau paling pesat berkembang di dunia, kalangan penyedia perkhidmatan industri perisian, vendor dan pembekal akan memberi dorongan besar terhadap usaha Malaysia menjadi hab pengeluaran dan perkhidmatan bagi rantau ini,” katanya.

Menurut Dr Yeah, industri perisian tempatan akan menjadi penerima utama manfaat pelaburan tersebut selain impak limpahan ekonomi yang positif berikutan peranan pusat data berkenaan yang dapat mempermudah usaha rancangan pendigitalan negara.

“Kerajaan dan pelbagai sektor ekonomi yang mana kualiti kecekapan, produktiviti dan perkhidmatannya didorong oleh penerimagunaan penyelesaian digital dan perkhidmatan data, akan menyaksikan peluang pertumbuhan yang lebih ketara,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon