B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan AWS sebanyak RM25.5 bln akan bantu industri ICT dan PKS – Tengku Zafrul

Pelaburan AWS sebanyak RM25.5 bln akan bantu industri ICT dan PKS – Tengku Zafrul

02 Mac 2023

Pelaburan terkini Amazon Web Services (AWS) akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta membantu inovasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seiring dengan aspirasi digital negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementerian dan agensi di bawahnya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestKL akan terus memainkan peranan dalam menarik pelaburan digital yang berkualiti, mewujudkan lebih banyak nilai dan peluang untuk pertumbuhan melalui data dan teknologi berasaskan awan serta menjana pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Pelaburan ini juga penting dalam mewujudkan kesan limpahan untuk PKS kami, ia juga boleh menjadi kelas dunia dengan menjadi sebahagian daripada ekosistem vendor multinasional seperti AWS.

“Saya telah dimaklumkan bahawa AWS akan mempunyai 80 peratus tenaga kerja yang terdiri daripada rakyat Malaysia.

“Perkongsian antara Kerajaan dan AWs ini menyokong pembangunan ekonomi Malaysia dan pada masa yang sama memenuhi cita -cita digital negara,” katanya dalam ucapannya pada persidangan AWS Malaysia Cloud Day di sini hari ini.

AWS mengumumkan bahawa ia akan membuka rantau infrastruktur baru di Malaysia dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM25.5 bilion untuk tempoh melebihi 15 tahun.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia berkembang pesat sebagai hab digital ASEAN atas beberapa faktor, antaranya ialah infrastruktur ICT yang sangat maju di Malaysia termasuk sambungan internet berkelajuan tinggi dan rangkaian telekomunikasi yang baik serta menyediakan persekitaran yang kondusif untuk inovasi digital dan pertumbuhan.

Malaysia juga mempunyai ramai bakat (pekerja berkemahiran) dalam teknologi dengan siswazah jurusan subjek utama seperti sains komputer, kejuruteraan elektrik dan sains data.

“Tenaga kerja mahir dan pelbagai Malaysia menjadikannya destinasi yang menarik minat bagi syarikat -syarikat yang mahu meningkatkan keupayaan digital dan jejak serantau,” katanya.

Beliau berkata rangka kerja perlindungan harta intelektual Malaysia yang mantap dan kedaulatan undang -undang juga memberi jaminan kepada pelabur seperti AWS bahawa inovasi dan pelaburan mereka adalah selamat dan dilindungi.

“Ada berita gembira lagi, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang disemak semula akan berusaha untuk meningkatkan semua kelebihan ini dan kedudukan yang lebih baik Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia.

“Kami juga mahu meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan untuk pelabur, sama ada asing dan domestik. Semua ini dan banyak lagi akan diumumkan dalam NIMP 2030 yang disemak semula pada suku ketiga 2023,” katanya.

Selaras dengan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) dan seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Tengku Zafrul berkata pelaburan langsung domestik dan asing memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan negara dan menghidupkan semula landskap pelaburan Malaysia terutama bertindak balas terhadap trend baharu.

Dilancarkan pada bulan Oktober 2022, beliau berkata NIA mempunyai lima toggak utama termasuk meningkatkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, memperluaskan hubungan domestik, membangunkan kluster ekonomi baharu dan sedia ada serta meningkatkan keterangkuman.

Dari Januari hingga September 2022, Tengku Zafrul berkata Malaysia berjaya menarik pelaburan yang diluluskan hampir RM194 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata agensi itu telah memudahkan dan membantu AWS dengan pelaburan mereka di Malaysia.

“Malaysia sudah pun mempunyai reputasi sebagai “bintang yang semakin menyinar” (semakin popular) dalam sektor pusat data global dan menerusi pelaburan AWS ini, penyedia awan terkemuka di dunia, Malaysia akan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pusat data di rantau ini.

“Pelaburan dan inisiatif daripada AWS akan menyediakan Malaysia dengan teknologi termaju, memberikan kelebihan daya saing kepada perniagaan tempatan terutamanya PKS dan syarikat multinasional (MNC), ia dapat membantu mereka berkembang,” katanya.

Arham berkata menurut organisasi penganalisis pasaran Arizton, Malaysia mempunyai salah satu pasaran pusat data paling maju di Asia Tenggara, bernilai RM4.7 bilion (US$1.06 bilion) pada 2021 dan angka itu dijangka berkembang pesat dalam masa terdekat, meningkat kepada RM7 bilion (IS$1.57 bilion) menjelang tahun 2027.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon