Pelabuhan Tanjung Pelepas sedia RM3 bilion tambah baik infrastruktur - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelabuhan Tanjung Pelepas sedia RM3 bilion tambah baik infrastruktur

Pelabuhan Tanjung Pelepas sedia RM3 bilion tambah baik infrastruktur

22 Mac 2023

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn Bhd bakal memperuntukkan RM3 bilion dalam mengembangkan perniagaan mereka khususnya ke atas penambahbaikan terminal kontena pelabuhan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen, berkata selain terminal, pihaknya akan turut membelanjakan peruntukan itu bagi zon bebas dan penambahan infrastruktur dalam pengoperasian pelabuhan berkenaan.

“Bagi pelaburan RM3 bilion yang kami sasarkan untuk diperuntukkan bagi lima tahun akan datang, ia akan dilaburkan bagi zon bebas dan juga terminal.

“Buat masa ini, terminal kami mempunyai kapasiti 13 juta kontena dan akan mengembangkannya kepada kapasiti 15.5 juta panel kontena menjelang 2026.

“Pelaburan ini juga akan digunakan untuk penambahan infrastruktur termasuk pelbagai kelengkapan baharu seperti trak dan kren,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Media ke PTP di sini, semalam.

Neelsen berkata, PTP akan turut menambah baik sistem automasi dan pendigitalan operasi mereka pada masa akan datang.

“Akan terdapat banyak perisian baharu yang akan digunakan, termasuk penggunaan penggerak utama autonomi dan pertukaran cara pengisian bahan api pada trak dan dalam penggunaan elektrik.

“Semua pelaburan ini akan mengembangkan lagi terminal PTP menjadi lebih hijau dan mampan,” jelasnya.

Berkongsi bagaimana PTP menguruskan keutamaan pelaburannya, Neelsen berkata, ia bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Buat masa ini, semua rancangan kami adalah bergantung kepada permintaan daripada pelanggan. Contohnya, kami akan lihat apa yang dimahukan pelanggan seperti berapa banyak kontena yang ingin dibawa ke PTP.

“Untuk tahun ini sebanyak RM450 juta sudah diluluskan Lembaga Pengarah PTP selain beberapa projek lain yang diharap dapat dilaksanakan dengan lebih teratur memandangkan sudah tiada lagi sekatan akibat pandemik.

“Rantaian bekalan juga sudah meningkat dan kami lihat projek-projek di PTP tidak akan tergendala dan akan siap tahun ini,” katanya.

Untuk rekod, PTP adalah terminal kontena terbesar di Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-15 dalam senarai 20 pelabuhan kontena terbesar di dunia.

Pelabuhan itu meliputi 809.37 hektar terminal dan 607.02 hektar kawasan zon bebas yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat perkapalan utama dan pengendali kotak, menyediakan pengiriman di Malaysia dan luar negara yang luas ke pasaran global.

PTP adalah usaha sama antara kumpulan utiliti dan infrastruktur Malaysia, MMC Corporation Bhd (MMC) sebanyak 70 peratus dan kumpulan pelabuhan global terkemuka dengan 67 kemudahan pelabuhan dan terminal iaitu APM Terminal (30 peratus).

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon