B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pahang bakal miliki Bandar Aeroangkasa – MB

Pahang bakal miliki Bandar Aeroangkasa – MB

01 Jul 2021

Pahang merancang membangunkan Bandar Aeroangkasa di kawasan seluas 5,042 hektar di Gebeng, di sini bermula tahun depan dan dijangka beroperasi pada 2026.

Menteri Besarnya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek berimpak tinggi itu akan turut melibatkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke Kawasan baharu dan seterusnya menyokong Rancangan Fizikal Negara ke-3 iaitu sebagai bandar pembangunan transit nasional (udara, darat dan laut) secara bersepadu di kawasan berkenaan.

Beliau berkata projek tersebut juga, apabila siap kelak, akan menyediakan sebuah lapangan terbang antarabangsa dan juga hab perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan pesawat (MRO) yang bertaraf dunia.

Menurutnya, nilai pasaran MRO bagi kawasan Asia Pasifik untuk tempoh 20 tahun akan datang dianggar berjumlah RM15 trilion, dan dengan pembukaan bandar itu, Pahang dijangka memperoleh satu peratus atau RM150 bilion untuk tempoh 20 tahun, atau RM7.5 bilion setahun daripada nilai pasaran MRO Asia Pasifik.

“Projek berkenaan akan dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) secara bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) iaitu Pahang Corporation Sdn Bhd (PahangCorp),” katanya dalam kenyataan selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman di antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan PahangCorp oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Khusaini Harumaini.

Selain itu, Wan Rosdy berkata Bandar Aeroangkasa tersebut juga akan menyediakan tapak perindustrian berkaitan penerbangan yang mampu menarik minat syarikat-syarikat besar dalam industri pembinaan pesawat dan komponen pesawat.

Pembinaan Bandar Aeroangkasa ini katanya, turut mengambil kira faktor hab ekonomi yang lain kerana ia terletak berhampiran kawasan industri Gebeng, Pelabuhan Kuantan dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) selain menjadi pintu masuk utama ke negeri pantai timur.

Ia juga turut akan menyediakan 50,000 peluang pekerjaan sama ada melibatkan sektor penerbangan atau bukan penerbangan, katanya. 

“Saya berharap perancangan untuk mewujudkan Bandar Aeroangkasa Pahang akan menjadikan negeri ini sebagai pilihan utama pelabur untuk melabur di negara ini berdasarkan kepada perkhidmatan yang disediakan nanti selain faktor geo-ekonomi yang strategik di pantai timur,” katanya. Source: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon