OCI rancang labur RM2.8 bilion lagi di Sarawak untuk hasilkan polisilikon - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


OCI rancang labur RM2.8 bilion lagi di Sarawak untuk hasilkan polisilikon

OCI rancang labur RM2.8 bilion lagi di Sarawak untuk hasilkan polisilikon

04 Ogo 2023

Syarikat kimia Korea Selatan OCI merancang untuk melabur RM2.8 bilion lagi di Sarawak untuk menghasilkan polisilikon bagi industri semikonduktor, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau berkata ia berikutan kejayaan projeknya di negeri ini di mana ia telah melabur lebih RM8 bilion, termasuk projek pembesaran untuk menghasilkan polisilikon untuk industri solar.

“Selain itu, OCI dan Kumho Petro Chemical Group telah bekerjasama dalam projek bernilai RM1.7 bilion untuk menghasilkan epiklorohidrin (ECH) melalui kuasa hidroelektrik dengan biogliserin dan garam semula jadi,” ujarnya.

Awang Tengah yang kini berada di Seoul untuk lawatan rasmi telah membuat kunjungan hormat ke atas Pengerusi OCI Holdings Lee Woo Hyun di Ibu Pejabat OCI pada 2 Ogos.

Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu mengucapkan terima kasih kepada OCI atas pelaburan mereka di Sarawak.

Beliau memuji komitmen tanggungjawab sosial korporat syarikat itu termasuk pemasangan panel solar di beberapa sekolah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pembangunan tenaga hijau di negeri ini.

Justeru, beliau mengalu-alukan pelaburan OCI ketika Sarawak bergerak ke arah tenaga hijau dan ekonomi digital selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menggalakkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Awang Tengah kemudiannya melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan OCI di mana beliau diberi peluang melawat kemudahan itu yang mendalami pembangunan generasi akan datang untuk sektor tenaga.

Pusat itu ditubuhkan untuk meningkatkan nilai teknikal syarikat dan merealisasikan visi korporat dengan mewujudkan perniagaan baharu pada tahun 1983.

Penyelidik yang berpengalaman tinggi terus mengukuhkan daya saing global OCI dengan melakukan penyelidikan untuk produk berintensif nilai tambah tinggi dan teknologi industri masa depan yang canggih.

Dalam lawatan itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy James Ung menyerahkan surat jaminan kepada Presiden OCIM Sdn Bhd Choi Sung Gil mengenai tenaga untuk diperuntukkan secara berperingkat bagi pelaburan syarikat itu di Sarawak.

Antara yang menyertai delegasi itu ialah Duta Besar Malaysia ke Republik Korea Datuk Lim Juay Jin, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Zaidi Mahdi dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Dzulkornain Masron.

Sumber: Utusan Borneo

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon