NIMP 2030 sasar bina daya tahan industri pembuatan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NIMP 2030 sasar bina daya tahan industri pembuatan

NIMP 2030 sasar bina daya tahan industri pembuatan

01 Sep 2023

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menyasarkan untuk membentuk sektor pembuatan yang kukuh dan berdaya tahan, menawarkan manfaat menyeluruh kepada pelbagai pihak berkepentingan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata

tidak seperti sebelumnya, NIMP 2030 melaksanakan pendekatan yang berbeza untuk pembangunan perindustrian.

“Keadaan ini disumbangkan oleh beberapa faktor iaitu pertama, kita mesti mengakui pelbagai cabaran global dan domestik yang terus menghalang pertumbuhan, termasuk pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika berucap pada pelancaran NIMP 2030 di sini, hari ini.

Pelancaran pelan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Zafrul berkata, faktor kedua adalah pelbagai trend dunia yang berlaku dan ketegangan geopolitik yang telah mempengaruhi rantaian bekalan global dan persekitaran perdagangan.

“Tonggak usaha kami adalah PKS. Matlamat kami adalah meningkatkan daya saing mereka, membolehkan mereka bersepadu dengan lancar kepada rantaian bekalan global. Apa yang sama penting adalah rakyat, dengan kita menyasarkan penyediaan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi dan berkualiti.

“Menerusi tranformasi industri, kami komited untuk membangunkan semula kumpulan pertengahan, memastikan pihak berkepentingan utama juga boleh berkembang maju demi masa depan yang makmur,” katanya.

Beliau berkata, sektor pembuatan Malaysia akan terus menjadi asas kepada ekonomi negara, dengan menyumbang sebanyak 23.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2023 untuk menjadi penyumbang kedua terbesar ekonomi negara.

“Sektor ini juga menyumbang sebanyak 80 peratus kepada jumlah eksport negara di samping memanfaatkan kira-kira 17 peratus daripada tenaga kerja Malaysia. Sektor pembuatan berperanan sebagai enjin pertumbuhan utama untuk memacu fasa perkembangan ekonomi negara yang seterusnya,” katanya.

NIMP 2030 mempunyai matlamat untuk mempercepat transformasi perindustrian Malaysia dengan meningkatkan daya saing syarikat Malaysia di samping memastikan integrasi yang lebih baik dengan rantaian nilai global.

Tengku Zafrul berkata, pelan induk itu juga sebagai bukti terhadap komitmen visi Ekonomi MADANI.

“Kami menyasarkan kepada pertumbuhan yang saksama, mampan dan inklusif, terutamanya untuk rakyat dan PKS,” katanya.

“Dalam membentuk NIMP, saya gembira untuk menyatakan bahawa kita telah memastikan ia seiring dengan 32 dasar dan pelan hala tuju sedia ada dan menunjukkan pendekatan menyeluruh kerajaan ke arah integrasi yang teguh dengan objektif dasar dalam pelbagai kementerian dan agensi.

“Dalam merealisasikan objektif NIMP 2030, kita berupaya tampil sebagai negara berdaya tahan yang merangkumi kemakmuran, keterangkuman dan kemampanan, di samping meningkatkan martabat rakyat Malaysia seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Beliau turut berkongsi ungkapan pakar ekonomi Joseph Stiglitz bahawa ‘pembangunan adalah mengubah kehidupan rakyat, bukan sahaja melakukan transformasi kepada ekonomi’.

“Ini peluang terbaik kepada kita untuk mentransformasi industri kepada pemulihan ekonomi negara yang seterusnya. Ini peluang kita untuk membuktikan kepada dunia bahawa, kita bersama-sama dapat melaksanakan visi ini agar dapat terus menempatkan Malaysia sebagai (negara) yang menyokong kemajuan perniagaan, pelaburan dan sebagai gerbang pelabur berdaya maju ke ASEAN, malah Asia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon