B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Negeri Sembilan terus yakinkan pelabur dengan prestasi ekonomi memberangsangkan

Negeri Sembilan terus yakinkan pelabur dengan prestasi ekonomi memberangsangkan

31 Ogo 2021

Negeri Sembilan berada di landasan terbaik dalam usaha menjadi negeri berdaya maju menerusi pelaburan yang merekodkan prestasi memberangsangkan setiap tahun meskipun Malaysia kini masih mengalami cabaran pandemik COVID-19.

Kerajaan negeri, di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, bertindak proaktif melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 (Invest NS 2021), untuk mempromosikan serta menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa, yang akan memacu pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata kerajaan negeri optimis mencapai sasaran nilai pelaburan RM5 bilion pada 2021, walaupun menghadapi kekangan berikutan penularan pandemik.

Beliau berkata beberapa insentif khas juga ditawarkan kepada pelabur di bawah Invest NS 2021 seperti promosi bersama kerajaan negeri menerusi jabatan atau agensi untuk membantu mempromosikan produk yang akan dipasarkan mereka.

“Selain itu pemudahan menyeluruh iaitu penyelarasan di peringkat kerajaan adalah diperlukan bagi membantu pihak swasta dalam membangunkan kawasan disamping menyegerakan proses pelaksanaan pembangunan.

“Usaha ini dapat mengurangkan birokrasi serta penglibatan orang tengah serta meyakinkan pelabur. Proses kelulusan khas pula akan menyegerakan dan menggalakkan pembangunan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohamad Rafie berkata proses kelulusan menerusi Pusat Sehenti (OSC) khas berfungsi sebagai pemudah cara bagi memastikan proses kelulusan di peringkat agensi teknikal dilaksanakan dengan cepat dan teratur serta meluluskan kadar diskaun bagi premium tanah sebagai galakan kepada pembangunan di Negeri Sembilan.

Inisiatif tersebut merupakan tindakan proaktif kerajaan negeri dalam usaha menarik minat lebih banyak pelabur untuk mengembangkan operasi dan perniagaan mereka ke Negeri Sembilan, seterusnya melonjakkan ekonomi serta menambah peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk, katanya.

“Kerajaan negeri menetapkan dasar mesra pelabur dengan sasaran ‘pelaburan berganda’ iaitu menetapkan nilai pelaburan masuk tahun semasa yang meningkat dari tahun ke tahun. Ini bertujuan meningkatkan pendapatan Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata untuk melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kerajaan negeri berusaha mengekalkan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan dengan memberi penekanan kepada empat ciri utama.

“Ciri tersebut ialah ekonomi yang berteraskan ilmu seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0); pengupayaan ekonomi yang bernilai tinggi; ekonomi yang berteraskan sumber strategik; serta penerokaan sumber yang dihadkan agar tidak menjejaskan keperluan generasi akan datang,” katanya.

Mohamed Rafie berkata negeri ini merekodkan penerimaan pelaburan RM1.63 bilion meliputi sektor pembuatan utama, hartanah, kewangan, perkhidmatan perdagangan pengedaran, utiliti, telekomunikasi, perkhidmatan pengangkutan dan lain-lain pada suku pertama 2021.

Ia meliputi RM1.401 bilion daripada pelaburan tempatan dan RM229 juta daripada pelaburan langsung asing, bagi menjana 1,215 peluang pekerjaan, katanya.

Beliau berkata bagi 2020, Negeri Sembilan mencatatkan pelaburan berjumlah RM7.93 bilion meliputi sektor pembuatan utama, hartanah, kewangan, perkhidmatan perdagangan pengedaran, utiliti, telekomunikasi, perkhidmatan pengangkutan dan lain-lain, di sebalik pertumbuhan ekonomi nasional yang perlahan.

“Pencapaian 2020 ini merupakan peningkatan sebanyak 14 peratus daripada pencapaian pada 2019 iaitu RM6.96 bilion,” katanya.

Bagi memperincikannya, Mohamad Rafie berkata Negeri Sembilan menerima pelaburan langsung asing terbesar bernilai RM3.83 bilion pada tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, pelaburan dari Belanda merupakan pelaburan asing terbesar yang direkodkan di Negeri Sembilan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.74 bilion yang menawarkan 2,599 peluang pekerjaan baharu.

“Antara projek yang dibawa masuk ialah pembangunan kilang Dutch Lady di Bandar Enstek,” katanya.

Beliau berkata Negeri Sembilan juga meraih pelaburan domestik terbaik yang pernah dicatatkan iaitu sebanyak RM2.59 bilion pada tahun lepas bagi sector pembuatan dan perkhidmatan terpilih.

“Pencapaian ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif serta membuktikan meskipun dalam persekitaran ekonomi tidak menentu, Negeri Sembilan masih terus menjadi pilihan pelabur domestik dan luar negara,” katanya.

Mohamad Rafie berkata jika dilihat secara khusus kepada pelaburan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan terpilih yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Negeri Sembilan mencatatkan sejumlah RM6.39 bilion pada 2020, iaitu yang terbaik pernah dicatatkan.

“Daripada jumlah tersebut, pelaburan dalam sektor pembuatan iaitu RM6.18 bilion merupakan yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sembilan mengalami penyusutan 3.6 peratus tahun lepas berbanding dengan pertumbuhan 5.1 peratus pada 2019, dipengaruhi oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan pandemik.

Meskipun begitu, prestasi tersebut adalah lebih baik berbanding pertumbuhan di peringkat nasional yang mencatatkan penguncupan 5.6 peratus dan ia merupakan yang keenam tertinggi dalam kalangan negeri-negeri lain.

Beliau menjelaskan berdasarkan komposisi, sektor perkhidmatan dan pembuatan mendominasi ekonomi negeri dengan jumlah sumbangan sebanyak 87.5 peratus; sektor pertanian menyumbang 7.2 peratus, sektor pembinaan (3.0 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (0.5 peratus).

Mengenai pelancongan pula, Mohamad Rafie berkata sektor itu merupakan antara sektor yang merosot seiring dengan industri perkhidmatan makanan, minuman dan penginapan, perkhidmatan agensi pelancongan, pengangkutan, penganjuran persidangan, rekreasi dan sukan ekoran sekatan perjalanan dan penutupan sempadan negara.

Beliau menjelaskan bagi meminimumkan impak negatif ke atas ekonomi negeri, kerajaan negeri melalui Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dengan kerjasama pelbagai jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan mengambil langkah menumpukan kaedah untuk menarik kedatangan pelancong domestik ke negeri ini.

“Langkah ini dilaksanakan melalui pemerkasaan dan meningkatkan promosi produk tempatan yang boleh menarik kehadiran pelancong seperti pelancongan pantai, eko-pelancongan serta pelancongan budaya dan warisan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut mempergiat kempen promosi ‘Jom Teghojah Nismilan’ yang telah diperkenalkan tahun lepas serta mengadakan kempen melalui media sosial rasmi seperti Facebook, Instagram dan Twitter bagi merancakkan promosi secara digital.

Mohammad Rafie dalam pada itu berkata kerajaan negeri juga menekankan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 (RSNS 2045) terus giat dilaksanakan bagi mencapai taraf pembangunan moden dan maju seiring dengan Pelan Hala Tuju Luar Bandar iaitu mengarusperdanakan kawasan luar bandar melalui kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon