B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Negeri Sembilan mampu capai pelaburan RM10b

Negeri Sembilan mampu capai pelaburan RM10b

08 Mac 2021

Kerajaan Negeri Sembilan optimis sasaran pelaburan sebanyak RM10 bilion pada tahun ini mampu dicapai di sebalik kesan pandemik Covid-19 yang melemahkan sektor ekonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, tahun ini akan menjadi tahun mencabar bukan sahaja kepada Negeri Sembilan tetapi juga kepada negeri-negeri lain bagi menarik kehadiran pelabur termasuk dari luar negara.

“Secara jujur, kita akan mengalami masalah berat dan mencabar kerana tahun lepas kita ada masalah pandemik Covid-19 yang bermula Mac dan ia berterusan. Tahun 2020 kita tidak boleh buat banyak dan tahun ini ia akan beri kesan yang besar.

“Kita nak menyasarkan RM10 bilion tapi ia tidak mudah, kita mahu cuba juga untuk mencapainya sebab itu dalam perancangan kita pada tahun ini untuk buka ruang pelaburan baharu termasuk membuka kawasan perindustrian baharu dan insentif-insentif khusus kepada pelabur berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan prestasi pelaburan Negeri Sembilan 2020 dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif NS Invest, Najmudin Sarimon; Ketua Pegawai Eksekutif NS Corp., Ab. Rahim Rahman; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Sembilan, Zetty Hamimi Zakaria dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) negeri, Pardon Munawar.

Menurut Mohamad Rafie, walaupun 2020 merupakan tahun mencabar dari segi politik, sosial dan ekonomi, Negeri Sembilan mencatatkan rekod pelaburan cemerlang apabila mencapai jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM7.93 bilion dengan RM3.83 bilion daripadanya merupakan pelaburan asing.

“Jika dilihat secara khusus kepada pelaburan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan terpilih yang diluluskan MIDA, Negeri Sembilan mencatatkan sejumlah RM6.3 bilion iaitu terbaik pernah dicatatkan. Daripada jumlah tersebut, pelaburan dalam sektor pembuatan iaitu RM6.18 bilion merupakan tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kerajaan Negeri Sembilan amat berbesar hati dengan pencapaian ini dan segala usaha yang dilakukan bagi merealisasikan sasaran RM5 bilion yang ditetapkan bagi tahun 2020 sebelum ini berjaya dicapai dengan amat baik sekali. Angka ini menempatkan Negeri Sembilan berada pada kedudukan keenam terbaik antara negeri-negeri di Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, walaupun 2020 negara terkesan dengan penularan pandemik Covid-19, namun jumlah pelaburan yang berjaya dicapai tersebut adalah hasil daripada perancangan pada 2019.

“Untuk 2020, usaha telah dibuat awal, kita mulakan pada 2019 dengan misi ke luar negara untuk menarik pelaburan dan kita berjaya menarik pelabur-pelabur ini datang,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X