B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NCIA memeterai MoU dengan pengeluar utama getah asli di Indonesia dan Thailand

NCIA memeterai MoU dengan pengeluar utama getah asli di Indonesia dan Thailand

16 Sep 2022

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada Mesyuarat Peringkat Menteri Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-28 hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pengeluar utama getah asli yang diwakili Kementerian Perindustrian, Indonesia (MOI) dan Pihak Berkuasa Getah Thailand (RAOT) untuk mengukuhkan komitmen bagi membangunkan Bandar Getah dalam IMT-GT.   

NCIA melalui satu kenyataan hari ini berkata kerjasama itu akan melonjakkan permintaan terhadap getah, seterusnya meningkatkan lagi rantaian nilai industri sambil mempercepatkan pembangunan industri hiliran.

Menurut Ketua Eksekutifnya Mohamad Haris Kader Sultan, sebagai pengerusi Pasukan Pelaksanaan Projek Bandar Getah IMT-GT dan Kerjasama Industri Getah, NCIA komited serta akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dan rakan kongsi untuk mewujudkan usaha sama perniagaan sub-serantau dalam pembuatan produk getah bagi menggalakkan pertumbuhan seimbang dalam industri getah termasuk mengoptimumkan sumber untuk menangani isu-isu yang bersifat silang.

“Untuk tujuan ini, Bandar Getah Kedah (KRC) yang merupakan projek strategik nasional serta Taman Perindustrian Getah khusus yang pertama di Malaysia berada pada kedudukan yang baik dalam ‘Lingkaran Getah’ Malaysia-Thailand untuk melengkapkan pembangunan ekosistem getah yang komprehensif di ASEAN. 

“Pembangunan taman perindustrian itu meliputi kawasan seluas 503.43 hektar dan bersedia menarik pelaburan berpotensi bernilai RM10 bilion serta mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang 2025,” katanya.

NCIA berkata MoU itu bertujuan mengukuhkan kerjasama antarabangsa, menggalakkan pertukaran amalan terbaik termasuk perkongsian pengetahuan serta pengetahuan teknologi ke arah pembangunan Bandar Getah bagi mencapai Wawasan IMT-GT 2036. 

“Rangkaian Bandar Getah IMT-GT (Sei MangKei Rubber City, Indonesia – Bandar Getah Kedah, Malaysia – Songkhla Rubber City, Thailand) dibangunkan untuk meningkatkan penggunaan produk getah dan rantaian bekalan serantau. 

“Inisiatif rentas sempadan ini akan menyumbang ke arah mencapai objektif serantau IMT-GT, antaranya ialah meningkatkan perdagangan intra sebanyak 28 peratus daripada jumlah perdagangan IMT-GT (9.2 peratus pada 2015) selain menambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar kepada US$694 bilion (US$215 bilion pada 2014) menjelang 2036. 

Semasa Sidang Kemuncak IMT-GT ke-13 di bawah Kepimpinan Malaysia yang diadakan pada 28 Okt, 2021, pemimpin Indonesia, Malaysia dan Thailand mengulangi komitmen mereka untuk mengukuhkan serta mempercepatkan kerjasama ekonomi dalam bidang kesalinghubungan, pengangkutan dan logistik, infrastruktur, tenaga, perdagangan, alam sekitar, pelaburan, pelancongan, halal dan pembangunan sumber manusia untuk mencapai pertumbuhan inklusif serta meningkatkan kualiti hidup. 

Dalam satu kenyataan bersama, pemimpin-pemimpin ini menekankan semangat muhibah mereka untuk mencapai Wawasan IMT-GT 2036 yang sejajar dengan Wawasan ASEAN. 

“Negara anggota komited untuk memajukan pengeluaran produk pertanian utama di sub-rantau melalui penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi serta pembinaan kapasiti. 

“Kami berharap penekanan yang lebih mantap akan diberikan ke arah menggalakkan amalan pertanian lestari; membangun dan mempromosikan komoditi utama seperti getah dan minyak sawit termasuk meningkatkan rantaian bekalan makanan rentas sempadan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon