B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NanoMalaysia, Bonric bangunkan sarung tangan getah ESD

NanoMalaysia, Bonric bangunkan sarung tangan getah ESD

21 Dis 2020

NanoMalaysia Bhd dan Bonric Sdn Bhd telah membangunkan secara bersama sarung tangan getah graphene infused electrostatic discharge (ESD) dengan impak pendapatan diunjurkan lebih RM100 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sarung tangan ESD biasanya diperbuat daripada getah sintetik dan digunakan untuk mengendalikan bahagian elektronik yang sensitif dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).

Bagaimanapun, sarung tangan getah ESD ini telah dipertingkatkan dengan teknologi nano, menjadikannya lebih nipis, tahan koyak, mesra alam dan tidak cenderung kepada alergi kimia Jenis IV yang membolehkan penggunaan yang meluas dalam banyak industri seperti pemacu cakera elektronik; semikonduktor; avionik; teknologi angkasa; dan malah penjagaan kesihatan.

Dalam kenyataan, Pengarah Urusan Kumpulan Bonric Sdn Bhd Dr Supramaniam Shanmugam berkata syarikat merupakan perintis dalam pembuatan dan pengedaran sarung tangan khas dan inovatif untuk kegunaan persekitaran yang kritikal, mengeksport produk ke lebih 75 negara.

Nilai global semasa untuk pasaran sarung tangan ESD dianggarkan sebanyak RM640 juta dan Bonric yakin sarung tangan getah inovatif ini akan dapat meraih 15 – 20 peratus daripada bahagian pasaran, dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sarung tangan ini tahan lasak, selesa, menjimatkan kos dan mempunyai ciri-ciri ESD yang amat baik.

“Selepas kami mewujudkan kedudukan pasaran, dan mengukuhkan harta inteleknya (IP), sarung tangan ini akan dilesenkan kepada penggiat Malaysia yang lain untuk pembuatan dan eksport,” katanya sambil menambah, matlamatnya untuk meningkatkan pendapatan eksport bagi Malaysia.

Menurutnya, pengedar dan pengguna akhir yang terdapat di kebanyakan negara, terutamanya di Eropah, Asia Timur Laut dan Amerika Syarikat telah menyatakan minat terhadap sarung tangan tersebut.

NanoMalaysia Bhd ialah syarikat dengan jaminan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertindak sebagai sebuah entiti perniagaan yang diamanahkan dengan aktiviti pengkomersialan teknologi nano dan perindustrian melalui model pembina teroka yang telah melabur RM1 juta dalam projek itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata antara matlamat Malaysia ialah menambah nilai kepada sektor tradisional termasuk komoditi pertanian.

“Sarung tangan ini akan dapat mencapainya. Pertama, lateks pekat adalah bahan mentah utama yang digunakan dalam sarung tangan ini, yang memberi manfaat kepada pengeluar getah asli. Kedua, peluang perniagaan rantaian bekalan graphene yang baharu akan wujud di sini.

“Penting untuk menyetempatkan sumber graphene, yang dapat dimanfaatkan secara mampan daripada biogas dalam industri minyak sawit. Sinergi antara dua sektor berasaskan komoditi Malaysia mewujudkan prospek pelaburan yang menarik kepada pelabur tempatan dan asing,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon