MOSTI berusaha jadikan Malaysia negara berteknologi tinggi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MOSTI berusaha jadikan Malaysia negara berteknologi tinggi

MOSTI berusaha jadikan Malaysia negara berteknologi tinggi

29 Nov 2022

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi melalui sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE), kata Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata MOSTI mahu Malaysia menerajui teknologi dan inovasi maju untuk meningkatkan daya saing global negara dan kementerian percaya bahawa pengukuhan dasar dan peraturan akan memakmurkan pembangunan teknologi negara.

“Sains, teknologi dan inovasi (STI) memainkan peranan utama dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dari segi aspek ekonomi, kemasyarakatan, keselamatan dan alam sekitar negara.

“STI menyediakan asas untuk pembangunan teknologi mampan baharu untuk memenuhi keperluan manusia dan menangani cabaran global seperti isu kesihatan, perubahan iklim, masyarakat menua, perubahan gaya hidup dan banyak lagi,” katanya dalam ucaptamanya pada persidangan dua hari I-Nation 2022 Global Reset: Tech for Impact di Taman Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) di sini hari ini.

Aminuddin berkata apabila Malaysia melangkah ke 2023 dan seterusnya, negara mempunyai peluang untuk membangunkan keupayaan digital bagi membina daya tahan dan memperlengkap semula bagi dunia yang semakin tidak menentu, sukar diramal dan bergerak pantas.

Oleh itu, beliau berkata penggubal dasar, pengawal selia dan agensi kerajaan mesti bekerjasama dengan saintis, ahli akademik dan orang awam untuk melihat kepada harga, akses pasaran, buruh, kesihatan dan keselamatan, ketaksamaan gender, konflik buruh, rasuah dan impak sosial daripada penggunaan teknologi.

“STI terus mengubah dunia kini dan masa hadapan seperti yang kita tahu. Dan apa yang kita alami sebenarnya hanyalah permulaan. Peluang ini adalah luas dan masa untuk membentuk masa hadapan ialah sekarang,” katanya.

Sementara itu, dalam perbincangan bertajuk InnovateNations: 45 minutes, 4 Nations: Catalysing Innovation in the Business of Government yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Dzuleira Abu Bakar, kesemua empat ahli panel bersetuju bahawa kerajaan perlu memudahkan dan memainkan peranan penting dalam inovasi yang perlu inklusif dan masyarakat termasuk sektor swasta perlu mengambil bahagian.

Empat ahli panel itu ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay, Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D. McFeeters dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N.Reddy.

Semasa perbincangan itu, kesemua ahli panel berkongsi inisiatif inovasi di negara masing-masing dan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan rakan kongsi Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon