B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI: Pemain industri disaran manfaatkan inisiatif kerajaan untuk percepat proses pemulihan ekonomi

MITI: Pemain industri disaran manfaatkan inisiatif kerajaan untuk percepat proses pemulihan ekonomi

12 Ogo 2022

Komuniti perniagaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) disaran agar memanfaatkan peluang daripada inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi mempercepatkan lagi proses pemulihan ekonomi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong.

Justeru, beliau berkata komuniti perniagaan dan PKS perlu meneroka peluang perniagaan baharu  khususnya sektor eksport.

Beliau seterusnya menjelaskan dengan memberi lebih fokus kepada pasaran eksport terutamanya ke negara serantau, ia boleh meningkatkan lagi akses pasaran PKS tempatan ke peringkat global.

Agensi-agensi di bawah MITI turut menyediakan banyak insentif lain serta akses bagi pasaran baharu dan inisiatif ini akan membantu memperkenalkan lebih banyak lagi jenama Malaysia ke luar negara dan secara tidak langsung akan mewujudkan penerokaan pasaran baharu, kata Lim selepas majlis perasmian Forum Pelaburan CITYPlus 2022 di sini hari ini.

Menurut beliau di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), PKS disasarkan menyumbang 45 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dan 25 peratus daripada jumlah eksport negara menjelang 2025.

“Saya meminta PKS dan komuniti perniagaan Malaysia ambil maklum dan rebut  peluang yang disediakan kerajaan dengan sebaiknya. Ini akan membantu mereka terutamanya PKS untuk berkembang dengan lebih baik dan pulih dengan cepat dalam proses pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata forum pelaburan sehari yang diadakan secara hibrid hari ini boleh dimanfaatkan oleh peserta khususnya syarikat-syarikat pemula niaga untuk mendapatkan pendedahan lebih meluas terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi.

Selain memberi fokus kepada sektor PKS, forum yang disertai lebih 300 peserta dan pemain PKS itu turut membincangkan isu pelaburan hartanah dan pelaburan dalam teknologi baharu seperti Metaverse.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon