MITI lancar i-ESG, perkasa sektor pembuatan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI lancar i-ESG, perkasa sektor pembuatan

MITI lancar i-ESG, perkasa sektor pembuatan

27 Jun 2023

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang membangunkan rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri Nasional (i-ESG) untuk sektor pembuatan yang akan dilancarkan September ini.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata rangka kerja itu terdiri daripada empat komponen utama iaitu piawaian; sokongan dan insentif kewangan, pembinaan kapasiti; serta mekanisme pasaran.

Katanya, i-ESG yang bakal diperkenalkan itu adalah untuk menggalakkan sektor pembuatan menerima amalan ESG dengan menyediakan garis panduan dan pemboleh yang jelas untuk syarikat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Untuk tujuan ini, saya ingin menjemput institusi kewangan untuk mempertimbangkan memperuntukkan sumber kepada industri, pengilang dan pengeksport dalam bidang seperti penyahkarbonan sektoral, mobiliti elektrik, tenaga hidrogen, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon berskala besar (CCUS), serta teknologi mengenai ekonomi bulat dan infrastruktur hijau.

“Ringkasnya, apa yang kami ingin laksanakan adalah untuk mempromosikan dan memupuk pembuatan hijau,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perbankan Malaysia Edisi Kedua bersama Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim.i-ESG yang akan diletakkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di mana pelancarannya dilaksanakan sebelum i-ESG diperkenalkan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, MITI telah memulakan pelbagai sesi libat urus dengan institusi kewangan bagi memastikan ia terbuka untuk memberi sokongan kewangan kepada syarikat yang memberi tumpuan kepada ESG.

“Sebenarnya sesi libat urus yang pertama telah bermula minggu lalu. Kita mahu laksanakannya dengan lebih berstruktur dan formal dalam menghasilkan rangka kerja berkaitan ESG.

“MITI akan menggabungkan beberapa perkara bersama NIMP2030 danelihat bagaimana institusi kewangan dan kerajaan boleh membantu syarikat.

“Dari NIMP2030, kita akan lancarkan data ESG dan kita sangat memerlukan sokongan institusi kewangan kerana bukan hanya dari segi pembinaan kapasiti, tetapi juga dari segi modal seperti yang diperlukan untuk terus melabur dalam memenuhi piawaian ESG pada masa hadapan,” katanya.

Berhubung kewangan Islam, beliau menjelaskan, segmen berkenaan memiliki kelebihan semula jadi dalam ESG dan mampu menjadi penggerak utama.

“Hari ini, kami mahu semua institusi kewangan bertindak bersama. Sudah tentu, ramai yang bergerak ke arah kewangan Islam juga yang telah menerima idea prinsip ESG,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, sektor kewangan memainkan peranan yang penting dalam memacu agenda kelestarian dan iklim.”Sebagai pegawai bank, kita mempunyai kuasa untuk mengurangkan kemiskinan, membina komuniti, menjana peluang pekerjaan baharu, dan memupuk warga kerja berfokuskan ESG dan berorientasikan masa hadapan.

“Pembinaan keupayaan dan kapasiti adalah penting dan AICB sedang menumpukan usahanya terhadap pembinaan kompetensi industri ini menerusi kelayakan profesional kami dan platform seperti Persidangan Perbankan Malaysia ini akan terus menyokong sektor kewangan dan negara dalam mempercepat peralihan kepada ekonomi karbon rendah dan memperkukuh keyakinan orang ramai,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon