MITI Bekerjasama Dengan Pelbagai Kementerian Tambah Bilangan Pelajar STEM Bagi NIMP 2030 – Tengku Zafrul - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI Bekerjasama Dengan Pelbagai Kementerian Tambah Bilangan Pelajar STEM Bagi NIMP 2030 – Tengku Zafrul

MITI Bekerjasama Dengan Pelbagai Kementerian Tambah Bilangan Pelajar STEM Bagi NIMP 2030 – Tengku Zafrul

11 Sep 2023

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang bekerjasama dengan pelbagai kementerian strategik untuk menambah bilangan pelajar sains, teknologi , kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memastikan kejayaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Kementerian terbabit termasuklah Kementerian Pendidikan Tinggi (MoHE), Kementerian Sumber Manusia (MOHR) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia memerlukan penyelesaian jangka panjang kepada trend pendaftaran pelajar yang semakin berkurangan dalam mata pelajaran STEM, termasuk meningkatkan penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris.

“Tetapi dari segi langkah-langkah segera yang boleh dilaksanakan, saya mencadangkan barangkali syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat Malaysia perlu menumpukan untuk menarik lebih ramai pelajar berminat dalam subjek STEM dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau program lain yang berkaitan,” katanya dalam ucapan beliau pada Sidang Kemuncak Kelestarian Bumi Lebih Sejuk 2023, hari ini.

Tengku Zafrul berkata selain melanjutkan Pas Nomad kepada pekerja pembuatan, kerajaan sedang menimbang langkah-langkah jangka pendek lain, seperti membenarkan graduan STEM dari mana-mana kewarganegaraan untuk tinggal dan bekerja di negara ini bagi tempoh tertentu.

Beliau berkata tanpa tenaga kerja yang sesuai, Malaysia tidak dapat menarik pelaburan tambahan yang sewajarnya atau menyokong usaha syarikat multinasional (MNC) sedia ada untuk mendapatkan rantaian bekalan mereka, yang mana ia perlu untuk menyokong agenda kemampanan dan keterangkuman sektor pembuatan negara.

Mengenai rantaian bekalan, beliau berkata, syarikat mesti menyedari bahawa jaminan dan daya tahan rantaian bekalan adalah pra-syarat kepada kemampanan dan keterangkuman sektor pembuatan yang boleh memacu pencapaian sasaran NIMP 2030 yang lebih pantas.

Justeru, katanya, kerajaan menyokong pembangunan daya tahan rantaian bekalan dengan memastikan jaminan tenaga dan membangunkan perancangan tenaga kerja yang kukuh bagi sektor pembuatan Malaysia untuk memenuhi keperluan pelabur.

“Dalam menyusun semula rantaian bekalan, pandemik COVID-19 dan perang perdagangan memberi pengajaran kepada MNC bahawa keutamaan utama mereka tidak semestinya wang semata-mata, tetapi juga jaminan rantaian bekalan.

“Untuk menyokong jaminan tenaga, kerajaan telah mengumumkan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR),” kata Tengku Zafrul.

Selain itu, katanya, inisiatif Laluan Lorong Hijau TNB juga akan menyokong matlamat kerajaan dan menjamin keperluan tenaga bagi pusat data yang amat diperlukan Malaysia untuk membantu merealisasikan objektif pelan induk negara bagi menarik pelaburan berteknologi tinggi.

Di Asia Tenggara, bahagian pasaran pusat data Malaysia dijangka meningkat sebanyak US$2.08 bilion dari 2021 hingga 2026, yang mana merupakan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 15.72 peratus, katanya.

Mengenai usaha membangunkan perancangan tenaga kerja yang mantap bagi sektor pembuatan Malaysia untuk memenuhi keperluan pelabur, Tengku Zafrul berkata MNC harus menyusun semula dan mendapatkan rantaian bekalan mereka dengan beralih kepada Asean.

“Berikut adalah satu fakta menarik, walaupun pelaburan langsung asing (FDI) global menyusut sebanyak 12 peratus pada 2022, namun aliran masuk FDI ke Asean meningkat sebanyak lima peratus.

“Pada masa depan, kita boleh merebut lebih banyak aliran masuk ini dengan memastikan bekalan tenaga kerja yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, katanya, prinsip utama kedua untuk menyokong NIMP 2030 ialah penggunaan pesat teknologi dan pendigitalan dalam pembuatan pintar untuk mencapai matlamat pembuatan mampan negara.

“Untuk itu, walaupun NIMP 2030 telah mengemukakan cadangan penyelesaian pembiayaan awam, namun kami menjangkakan sektor swasta akan turut menyokong matlamat sektor pembuatan kita yang mampan dan transformatif dengan menyediakan pembiayaan hijau, sama ada dalam bentuk pinjaman, hutang swasta atau sukuk atau ekuiti,” katanya.

Tengku Zafrul berkata keupayaan sektor pembuatan Malaysia untuk berkembang maju pada masa hadapan berkait rapat dengan keupayaan negara untuk merekayasa kerjasama yang berjaya dalam pelbagai kumpulan pemegang kepentingan yang kritikal.

Ini, katanya, termasuk rakan rantaian bekalan teras setiap sektor merentasi pelbagai industri, pemain pelengkap dan pihak berkepentingan sektor awam, termasuk GLC dan GLIC.

“Sehubungan itu, kami menyasar untuk memangkinkan perkongsian pintar awam-swasta baharu antara GLIC dan pelabur global, terutamanya dalam teknologi yang menyokong pembuatan mampan dan rantaian bekalan sifar bersih,” kata Tengku Zafrul. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon