MITI akan kemuka pendekatan 'selamat di tempat kerja' tangani COVID-19 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI akan kemuka pendekatan ‘selamat di tempat kerja’ tangani COVID-19

MITI akan kemuka pendekatan ‘selamat di tempat kerja’ tangani COVID-19

01 Mac 2021

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengemukakan kertas cadangan pendekatan keselamatan di tempat kerja dalam menangani isu penularan COVID-19 di tempat kerja.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kertas cadangan itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan kelulusan.

Beliau berkata, apabila diluluskan kelak, pendekatan itu akan membolehkan majikan turut sama bertanggungjawab dan berperanan melindungi pekerja mereka.

“Sebelum ini kita berpandangan sebahagian besar kes itu disumbang pekerja yang menginap di tempat penginapan yang tidak kondusif, mungkin terlalu sesak, terlalu ramai dalam satu bilik.

”Namun, ada juga peratusan menunjukkan kluster ini berlaku di tempat kerja. Berikutan itu, Ketua Setiausaha saya, Datuk Lokman Hakim Ali, pasukan saya bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sudah mengadakan beberapa libat urus dengan dewan perniagaan dan persatuan industri untuk melihat apa yang boleh kita lakukan.

“Ia kerana kita mahu, bukan saja kerajaan mengenakan syarat yang ketat, sebaliknya kita mahu majikan melakukan kawalan kendiri, memberi kuasa kepada pihak industri untuk tampil dan membantu kerajaan menghentikan COVID-19,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, jika majikan menjaga dan memastikan kesihatan serta keselamatan pekerja daripada jangkitan, kerajaan tidak perlu mengambil tindakan terhadap mereka termasuk menutup atau menghentikan operasi, malah majikan juga akan dapat meningkatkan produktiviti masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama-sama MITI dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jawatankuasa Teknikal sudah merangka beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang boleh dilaksanakan, khususnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, bagi membantu sektor pelancongan yang teruk terjejas akibat penularan COVID-19 serta penutupan sempadan negara kepada pelancong dan pengembara luar.

Katanya, keputusan mengenainya masih belum dibincangkan kerana KKM akan membentangkan penilaian risiko dalam masa terdekat untuk melihat tindakan boleh diambil selepas PKP tamat.

“Memang kita maklum industri pelancongan antara sektor paling terjejas akibat COVID-19. Ia memberi kesan bukan saja kepada industri perhotelan, tetapi logistik dan penerbangan serta banyak subsektor lain.

“Apa pun keputusan akan diambil, yang penting pematuhan kepada SOP dan dibuat berdasarkan data serta sains. Jika kita ada data khusus yang boleh membuktikan sektor pelancongan boleh dilaksanakan dalam masa terdekat, saya percaya kerajaan akan mengambil langkah ke arah itu,” katanya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri pula berkata, sektor pelancongan tempatan sudah dibuka di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta mesyuarat bersemuka di seluruh negara.

“Hotel tidak pernah ditutup dan untuk membantu hotel di kawasan PKP, PKPB dan PKPP, bahagian makanan dan minuman (F&B) juga dibenarkan dibuka sepenuhnya dengan syarat mematuhi SOP penjarakan fizikal di meja makan.

“Banyak aktiviti pelancongan juga sudah dibenarkan dibuka di kawasan PKPB seperti taman tema dan sebagainya. Sedikit demi sedikit ia akan dibuka selepas penilaian risiko dibuat KKM,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon