B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA kekal tumpu tarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia

MIDA kekal tumpu tarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia

26 Jul 2021

Kerajaan, menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), terus menumpukan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada syarikat asing dan tempatan menerusi pelbagai strategi pelaburan dan inisiatif dasar di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata strategi agresif berterusan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada pelabur asing dan tempatan menunjukkan hasil yang meyakinkan dengan Malaysia merekodkan pelaburan dilulus bernilai RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021 (Januari-Mac), lonjakan sebanyak 95.6 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

“Pelaburan dilulus ini melibatkan 993 projek dan dijangka menjana 32,557 peluang pekerjaan. Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan kompetitif bagi pelabur asing meskipun keadaan tidak menentu global ketika ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Beliau berkata jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama meningkat sebanyak 383.4 peratus kepada RM54.9 bilion bagi tempoh Januari-Mac 2021 daripada RM11.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Projek FDI utama kebanyakannya dalam sektor berorientasikan eksport dan teknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan peralatan perubatan serta sektor berintensifkan modal seperti produk logam asas dan produk kimia.

“Kebanyakan syarikat multinasional (MNC) dan asing di Malaysia terlibat dalam sektor teknologi tinggi seperti mikroelektronik, mekatronik, bahan direkayasa, biobahan, komponen perubatan, komponen logam dan komposit aeroangkasa serta produk kimia,” katanya.

Arham berkata MNC memainkan peranan penting sebagai ejen transformasi negara bagi pembuatan dan industri perkhidmatan berkaitan pembuatan.

Menurutnya, kerajaan terus memberi sokongan kepada rantaian dan vendor bekalan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan memenuhi keperluan MNC.

Dalam usaha menaik taraf ekosistem domestik industri yang menyokong projek asing utama di sini, beliau berkata kerajaan memperkenalkan Dana dan Geran Automasi Pintar (SAG). 

Ia membantu vendor tempatan dalam rantaian bekalan MNC untuk mengautomasi dan mendigitalkan proses pembuatan dan perniagaan mereka bagi mencapai kecekapan yang lebih tinggi.

Mengenai kepentingan FDI dalam sektor perkhidmatan, beliau berkata, skim Hab Prinsipal (PH) menjadi aktiviti perniagaan pilihan utama bagi pelabur asing, disokong oleh insentif cukai kerajaan sejak 2015.

“Malaysia berhasrat menjadi lokasi pilihan utama bagi ibu pejabat di rantau Asia Pasifik, bersaing dengan negara-negara pesaing serantau lain. Negara juga semakin mendapat perhatian sebagai pusat hab digital di ASEAN dengan pelancaran inisiatif MyDigital di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Arham berkata pada 12 April, 2021, Kabinet telah meluluskan agenda pelaburan baharu berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional dan perancangan Malaysia yang unik kepada pelabur.

Seperti yang dilihat dalam pengumuman bagi projek diluluskan pada suku pertama 2021, beliau berkata banyak pelabur asing yang menunjukkan keyakinan menerusi pelaburan jangka panjang mereka di Malaysia.

“Satu projek yang penting adalah projek pembuatan baharu oleh SK Nexilis dari Korea Selatan, pengeluar kerajang tembaga untuk penghasilan bateri kenderaan elektrik (EV). Kemudahan yang dicadangkan di Malaysia itu akan melaksanakan sepenuhnya inisiatif RE100 untuk melaksanakan 100 peratus tenaga elektrik boleh diperbaharui.

“Kehadiran syarikat ini akan menarik lebih ramai pelabur untuk melengkapkan rantaian bekalan pembuatan bateri EV Malaysia, menjadikan negara sebagai hab kerajang tembaga berkualiti tinggi dan kejituan tinggi untuk aplikasi khusus,” katanya.

Dalam landskap domestik, Arham berkata penggiat tempatan seperti Amerix Metal Machining Technology telah merebut peluang untuk memperluas dan mempelbagaikan operasi mereka pada 2020, meningkatkan lagi keupayaan rangkaian industri sokongan Malaysia.

Prestasi perdagangan Malaysia dilihat mengekalkan trend peningkatan pada Mei 2021 dengan dagangan yang meningkat 48.7 peratus kepada RM170.88 bilion berbanding Mei 2020, manakala eksport melonjak 47.3 peratus kepada RM92.31 bilion, bulan kesembilan berturut-turut bagi pengembangan tahun ke tahun sejak September 2020.

Arham berkata pengembangan yang kukuh dalam eksport dan import adalah isyarat yang dinanti-nantikan bahawa pemulihan ekonomi Malaysia semakin pantas.

“Kerajaan juga telah menetapkan misi penentu bagi mengurangkan impak kesihatan, ekonomi dan sosial  pandemik. Sejak Mac 2020, banyak inisiatif telah dilancarkan dalam siri langkah rangsangan berkaitan strategi 6R (Resolve (ketegasan), Resilience (ketahanan), Restart (jana semula), Recovery (pemulihan), Revitalise (memperkasa) dan Reform (menyusun semula).

“Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan yang bernilai RM380 bilion, dilaksanakan untuk membantu meredakan impak COVID-19, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan pelaburan yang berkualiti,” katanya.

Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Nasional (PEMULIH) baru-baru ini turut memperuntukkan RM150 bilion untuk menangani cabaran yang dihadapi akibat gelombang pandemik semasa, katanya.

Melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2021-2030 dan Rancangan Malaysia ke-12, Arham berkata kerajaan akan terus menetapkan strategi utama baharu untuk meningkatkan lagi daya saing perindustrian Malaysia dan hala tuju strategik dalam agenda pembangunan negara.

“MIDA sentiasa meninjau, menarik dan memudahkan pelaburan berteknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan berintensifkan modal yang menghasilkan kesan pengganda kepada ekonomi negara. “Berupaya menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi sentiasa menjadi rancangan strategik MIDA, terutamanya ke arah era Industri 4.0.

“Landskap perindustrian menuntut keperluan untuk menggabungkan pengetahuan teknikal, pemikiran kritikal, keupayaan menyelesaikan masalah serta kemahiran kepimpinan yang tepat,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X