B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Microsoft meterai lima MoU di bawah inisiatif Bersama Malaysia

Microsoft meterai lima MoU di bawah inisiatif Bersama Malaysia

19 Apr 2021

Microsoft Corp, melalui inisiatif Bersama Malaysia yang dilancarkan, telah menandatangani lima Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi kerajaan dan syarikat tempatan untuk melatih kira-kira satu juta rakyat Malaysia menjelang akhir 2023 bagi membantu mewujudkan peluang ekonomi kepada rakyat dan perniagaan dalam era digital.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K. Raman berkata Microsoft, bersama rakan kongsi tempatannya, Enfrasys Solutions, telah dilantik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menyediakan perkhidmatan awan kepada agensi sektor awam hingga 2023.

“Microsoft juga akan bekerjasama dengan Censof Holdings, Silverlake Group dan Web Bytes untuk mempercepatkan transformasi digital dalam industri utama negara, termasuk perkhidmatan kewangan, runcit, makanan dan minuman serta sektor awam,” katanya pada pelancaran inisiatif itu oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Aziz berkata kerjasama dengan Microsoft menekankan komitmen syarikat minyak nasional itu untuk menyediakan tenaga kerja yang sedia menghadapi masa depan bagi menyokong ekonomi digital Malaysia.

“Sebagai rakan tenaga dan penyelesaian progresif yang memperkaya kehidupan insan demi masa depan yang lestari, pembangunan modal insan yang berterusan memainkan peranan penting terhadap keupayaan kami untuk beroperasi dan bersaing.

“Kami berharap dapat menggiatkan usaha untuk meningkatkan kemahiran pekerja tempatan yang berbakat, dengan matlamat membina masa depan digital yang terangkum demi manfaat rakyat dan negara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Idham Nawawi berkata dengan kerjasama Microsoft, syarikat telekomunikasi akan terus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan awan yang selamat dan boleh dipercayai, yang menggalakkan pembangunan ekosistem digital yang pesat dan mencapai aspirasi digital negara dengan cara yang mampan.

“Sektor telekomunikasi dan teknologi ibarat nadi penggerak ekonomi digital negara. Perkhidmatan awan bertaraf dunia akan menjadi tunjang yang membentuk hala tuju masa depan dalam usaha kita menjadi kuasa ekonomi digital di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik rancangan Microsoft untuk menubuhkan pusat data serantau pertama di Malaysia, menyediakan capaian kepada perkhidmatan awan yang selamat, boleh skala, sentiasa tersedia, berdaya tahan dan mampan bagi kerajaan dan meliputi pelbagai industri.

“Sebagai penyewa telekomunikasi utama, kami berharap akan membawa manfaat pusat data ini kepada pelanggan dan rakan kongsi kami,” katanya.

Berdasarkan insiatif yang sama, yang bernilai kira-kira US$1 bilion (US$1=RM4.13) bagi tempoh lima tahun akan datang, Microsoft akan mewujudkan pusat data serantau pertamanya di Kuala Lumpur dan menyediakan akses kepada Microsoft Cloud sepenuhnya.

Ia merangkumi Microsoft Azure, Microsoft 365 serta Dynamics 365 dan Power Platform.

Raman berkata pusat data serantau baharu itu juga akan menyediakan Zon Ketersediaan Azure yang menawarkan pilihan daya tahan lebih kukuh untuk aplikasi yang sangat tersedia, selain menyokong matlamat kemampanan Microsoft.

“Microsoft mempunyai komitmen global untuk beralih kepada 100 peratus bekalan tenaga boleh baharu menjelang 2025.

“Ini bermakna, Microsoft akan mempunyai perjanjian pembelian kuasa untuk tenaga hijau bagi menggantikan 100 peratus bekalan kuasa yang menghasilkan karbon yang digunakan oleh semua pusat data, bangunan dan kampusnya, termasuk pusat data serantau yang dirancang di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Microsoft akan bekerjasama dengan kerajaan, syarikat pemula niaga dan perusahaan untuk menyokong matlamat transformasi digital negara.

“Secara khusus, Microsoft bersama-sama Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) telah menubuhkan Majlis Kepimpinan Perikatan MyDigital untuk kerjasama dalam pengesyoran dasar asli-digital dan mengutamakan awan,” katanya.

Raman berkata mesyuarat pertama perikatan itu telah membincangan pendigitalan dalam sektor pendidikan untuk memupuk tenaga kerja digital Malaysia yang berdaya saing di peringkat global.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X