B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Menteri ekonomi ASEAN giatkan pelaksanaan inisiatif ke arah pemulihan serantau

Menteri ekonomi ASEAN giatkan pelaksanaan inisiatif ke arah pemulihan serantau

07 Sep 2021

Menteri-menteri ekonomi ASEAN akan kembali bersidang di Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-53 pada 8 hingga 15 September, 2021 untuk memacu pelaksanaan inisiatif Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) yang lebih pantas, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI menjelaskan inisiatif di bawah ACRF yang akan dipertimbangkan termasuk penandatanganan dan ratifikasi beberapa pengaturan pengiktirafan bersama (MRA) antaranya pemeteraian MRA ASEAN berkaitan Bahan Bangunan dan Pembinaan serta ratifikasi MRA ASEAN mengenai Kelulusan Jenis bagi Produk Automotif.

“Kemajuan ratifikasi perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) juga dijangka dibincangkan,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan terus mengetuai delegasi Malaysia di mesyuarat tersebut yang akan dipengerusikan oleh Brunei tahun ini.

“Sejajar dengan ini, penekanan juga akan diberikan kepada kemajuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pelaksanaan langkah bukan tarif terhadap barang-barang keperluan yang ditandatangani pada November 2020 oleh para menteri,” tambah MITI.

Pada Mac 2021, AEM bersetuju bahawa pencepatan ratifikasi dan usaha menguatkuasakan beberapa perjanjian ekonomi ASEAN boleh memacu pemulihan ekonomi di rantau ini dengan segera.

Bagi merealisasikannya, MITI memaklumkan, menteri ekonomi ASEAN telah menugaskan para pegawai kanan ekonomi untuk merangka satu garis panduan dengan kerjasama pakar undang-undang, mengenai peruntukan yang sesuai dan munasabah yang dapat digunakan untuk mempercepat langkah penguatkuasaan perjanjian ekonomi masa depan.

“Menteri-menteri dijangka diberi penjelasan lanjut mengenai kemajuan tugas berkenaan dalam mesyuarat itu,” jelasnya.

Aspek lain yang mungkin menjadi tumpuan Mesyuarat AEM kali ini ialah transformasi digital di ASEAN dengan menteri-menteri dijangka menyokong Hala Tuju Bandar Seri Begawan: Agenda Transformasi Digital ASEAN untuk Memacu Pemulihan Ekonomi dan Penyepaduan Ekonomi Digital ASEAN.

Menurut MITI, para menteri turut dijadual mengadakan rundingan dengan Rakan Dialog ASEAN — Amerika Syarikat, India, China, Kesatuan Eropah, Rusia, Korea Selatan, Jepun, Australia, New Zealand, Switzerland dan Hong Kong/China — untuk meneruskan kerjasama mereka di luar rantau ASEAN.

Mereka akan mengalu-alukan United Kingdom yang menyertai sesi rundingan itu buat kali pertama, selepas negara itu diterima sebagai rakan dialog terbaru ASEAN pada Ogos tahun ini. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X