B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Melaka sediakan fasiliti, infrastruktur tarik pelabur – Ketua Menteri

Melaka sediakan fasiliti, infrastruktur tarik pelabur – Ketua Menteri

30 Mac 2022

Kerajaan negeri bersedia membantu pelabur sedia ada di negeri itu dalam pelbagai aspek bagi memastikan mereka terus kekal melabur di Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata usaha itu penting kerana pelaburan yang dilakukan bukan sahaja memberi impak ekonomi kepada negeri malah turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di negeri berkenaan.

“Sebagai contoh, Honda Malaysia merupakan salah satu pelabur yang menyumbang kepada ekonomi negeri dan sudah pastinya banyak peluang pekerjaan telah diwujudkan untuk rakyat tempatan di negeri ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Honda Malaysia kerana masih meneruskan operasi di Melaka walaupun dalam keadaan yang sukar sebelum ini seperti berdepan dengan pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pencapaian Satu Juta Pengeluaran Kenderaan Honda Malaysia di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kanan Pelaburan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Madoka Chujo.

Selain itu, kerajaan negeri giat melaksanakan usaha menarik pelabur asing dan tempatan ke negeri itu dan bersedia menyediakan fasiliti atau infrastruktur yang diperlukan pelabur terlibat, kata Sulaiman.

Beliau berkata ia selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai salah satu destinasi pelaburan yang terkenal di negara ini pada masa hadapan.

“Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah pelaburan yang diluluskan bagi Melaka menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dan ia adalah pencapaian yang baik untuk negeri ini, ” katanya.

Terdahulu beliau berkata kejayaan Honda Malaysia Sdn Bhd mengeluarkan satu juta unit kenderaan di kilang pengeluarannya di sini merupakan satu pencapaian membanggakan terutama dalam situasi dunia masih berdepan pandemik COVID-19.

“Kejayaan ini adalah bukti kerja keras dan pengurusan strategik yang diamalkan Honda Malaysia selama ini selain kerjasama erat yang diberikan kerajaan negeri,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon