B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia yakin raih pertumbuhan positif, elak kemelesetan tahun ini

Malaysia yakin raih pertumbuhan positif, elak kemelesetan tahun ini

05 Feb 2023

Malaysia yakin untuk mencapai pertumbuhan positif dan mengelakkan kemelesetan pada tahun ini walaupun perlu berdepan dengan cabaran global, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Walaupun pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini diunjurkan sederhana berbanding 2022, Tengku Zafrul berkata, beliau optimis bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan.

“Definisi kemelesetan ialah pertumbuhan negatif KDNK (keluaran dalam negara kasar) bagi dua suku berturut-turut. Bank Negara Malaysia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia telah mengunjurkan Malaysia untuk terus meraih pertumbuhan ekonomi positif dalam julat tiga hingga lima peratus.

“Saya tidak fikir kita akan mengalami kemelesetan. Bagaimanapun, berbanding pertumbuhan yang telah kita capai pada 2022, akan terdapat sedikit kesederhanaan.

“Sehubungan itu, kita perlu merebut peluang ini untuk memastikan semua enjin pertumbuhan kita kekal aktif terutamanya dari segi perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada Bernama semasa lawatannya ke Pulau Pinang baru-baru ini. 

Pada 2022, jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion untuk tahun kedua berturut-turut iaitu RM2.8 trilion, dengan eksport mencapai RM1.6 trilion, melebihi unjuran Rancangan Malaysia Ke-12 manakala import mencecah hampir RM1.3 trilion.

Dalam lawatannya ke Pulau Pinang (3 hingga 4 Februari), Tengku Zafrul berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi negeri dan peserta industi untuk membincangkan usaha mengukuhkan ekosistem perindustrian di negeri itu berikutan Pulau Pinang adalah antara destinasi pelaburan utama sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan teknologi perubatan.

“Kita perlu menarik pelaburan berkualiti tinggi yang berupaya menawarkan pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan negara. Kita juga mahu FDI (pelaburan langsung asing) ini dapat diterjemahkan kepada DDI (pelaburan langsung domestik).

“Sekiranya boleh, kita mahu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana yang boleh menawarkan perkhidmatan dan menjadi pembekal kepada syarikat multinasional yang beroperasi di sini.

“Pulau Pinang ialah contoh terbaik untuk tujuan ini memandangkan banyak syarikat multinasional yang bekerjasama dengan syarikat kecil sehingga syarikat-syarikat ini dapat berkembang dan disenaraikan di bursa saham,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon