B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, Turkiye segerakan penyiapan rundingan perluasan MTFTA — MITI

Malaysia, Turkiye segerakan penyiapan rundingan perluasan MTFTA — MITI

07 Jul 2022

Malaysia dan Turkiye komited untuk terus mempercepatkan penyiapan rundingan mengenai perluasan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA), kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

MITI berkata ia turut merangkumi komitmen untuk konsesi berkenaan perdagangan dalam perkhidmatan, e-dagang dan pelaburan.

“Ini adalah kemuncak hasil mesyuarat dua hala antara Menteri Kanan MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan Turkiye Mehmet Mus di Istanbul, semalam,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam komited untuk mempercepatkan penyelesaian rundingan, MITI berkata kedua-dua negara mengakui bahawa perluasan seperti itu menawarkan peluang besar untuk Malaysia dan Turkiye menikmati dan mengoptimumkan imbangan perdagangan masing-masing.

Sehubungan itu, ia berkata Turkiye dialu-alukan untuk menggunakan Malaysia sebagai hab bagi menembusi akses pasaran yang lebih besar ke dalam FTA terbesar dunia, seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan negara-negara anggotanya menyumbang satu pertiga daripada populasi dunia dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

MITI berkata kedua-dua negara juga bersetuju bahawa mereka harus mengoptimum dan menggunakan konsesi tarif yang disediakan di bawah MTFTA.

“Malaysia, melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), telah menawarkan untuk memulakan kerjasama teknikal dan aktiviti pembinaan kapasiti dengan pihak berkuasa perdagangan yang berkaitan di Turkiye bagi meningkatkan lagi prestasi perdagangan,” katanya.

Ia menambah pakej MTFTA yang diperluaskan juga akan memudahkan pergerakan profesional dan pekerja mahir untuk membekalkan perkhidmatan mereka di pasaran Turkiye dan Malaysia.

Menurut MITI, Mehmet juga telah mencadangkan untuk mengadakan mesyuarat Majlis Perdagangan Ekonomi Bersama dengan Malaysia di Turkiye menjelang suku ketiga tahun ini.

Azmin sehubungan itu menyambut baik cadangan tersebut kerana yakin pertemuan itu akan meningkatkan lagi perdagangan dua hala dan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X