B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia sedia muncul hab logistik serantau utama

Malaysia sedia muncul hab logistik serantau utama

13 Feb 2023

Malaysia mampu meletakkan kedudukannya sebagai hab logistik serantau memandangkan industri ini diiktiraf sebagai penting untuk merangsangkan perdagangan, memudahkan kecekapan perniagaan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Logistik di Malaysia berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, disokong oleh pemboleh pertumbuhan yang kukuh seperti infrastruktur yang lebih baik, peningkatan jumlah kargo dan pertumbuhan struktur dalam e-dagang.

Industri logistik juga adalah tulang belakang bagi ekosistem rantaian bekalan Malaysia.

Walaupun landskap pasaran semasa masih berasing-asing dengan sejumlah besar peserta meliputi rantaian nilai, penyatuan pasaran adalah dijangka menerusi kemunculan dua kategori besar penyedia logistik, peserta logistik bersepadu utama yang memanfaatkan skala dan jangkauan serta peserta pasaran khusus.

Kementerian Pengangkutan menyusun Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 untuk menambah baik kesalinghubungan logistik bagi menampung ledakan e-dagang, rancangan naik taraf dan peluasan pelabuhan secara berterusan serta peningkatan produktiviti dan daya saing.

Sebagai negara perdagangan ke-24 terbesar di dunia pada 2021, logistik berperanan penting untuk membolehkan pertumbuhan rantaian bekalan Malaysia, dan dengan kebangkitan e-dagang, syarikat memanfaatkan trend yang semakin pesat berkembang ini.

Minat syarikat dalam bidang yang sedang pesat berkembang seperti logistik rantaian sejuk, perkhidmatan penghantaran peringkat akhir dan sebagainya semakin meningkat disebabkan margin yang tinggi dan permintaan kian bertambah.

Dalam aspek ini, kerajaan Malaysia telah merangka pelbagai usaha dan rancangan untuk membantu peserta tempatan meningkatkan rantaian nilai mereka bagi melonjakkan daya saing global mereka.

FDI dan perkhidmatan logistik bersepadu antarabangsa

Satu inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan industri logistik adalah menerusi status perkhidmatan logistik bersepadu antarabangsa (IILS).

Ia diberikan kepada syarikat yang mampu menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu dan lancar dari pintu ke pintu di sepanjang rantaian nilai sebagai entiti tunggal mengikut skala serantau atau global.

Status IILS tidak mengenakan sebarang sekatan ekuiti malah turut menggalakkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia melalui penubuhan langsung atau kerjasama dengan peserta tempatan.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Perkhidmatan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zuaida Abdullah, berkata inisiatif seperti insentif perkhidmatan logistik bersepadu (ILS) dan status IILS dilihat sebagai batu loncatan bagi syarikat tempatan untuk menyediakan perkhidmatan komprehensif bagi mengembangkan lagi pasaran mereka, memberi perkhidmatan kepada pasaran domestik dan global.

“MIDA mendapatkan bantuan beberapa penyedia ILS multinasional untuk bekerjasama dalam pembangunan industri tempatan.

“Melalui penglibatan ini, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani untuk memperkukuh kerjasama ini. Perkongsian dan inovasi bersama akan menjadi semakin penting untuk mentransformasikan industri,” katanya kepada Bernama di ibu pejabat MIDA baru-baru ini.

MIDA menandatangani MoU dengan AP Moller-Maersk (Maersk) dan DHL untuk memacu pelaburan berkualiti tinggi ke dalam Malaysia sebagai hab logistik ASEAN.

Memorandum itu bertujuan mewujudkan sinergi yang lebih baik dan perkhidmatan nilai tambah untuk pelanggan, serta menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor rantaian bekalan dalam ekonomi tempatan.

Selain itu, semua MoU ini akan memberi faedah dengan peserta tempatan memanfaatkan keupayaan syarikat multinasional (MNC) dalam ekosistem logistik bersepadu.

Zuaida berkata, MIDA terus mempromosikan pembangunan industri melalui insentif ILS dan program status IILS serta berhasrat membimbing lebih banyak syarikat tempatan untuk menjadi peserta serantau atau global pada masa hadapan.

“Sejak status IILS diperkenalkan pada 2008, MIDA telah mengeluarkan kelulusan untuk 259 status IILS yang majoritinya adalah syarikat logistik milik Malaysia. Daripada jumlah itu, 223 ialah syarikat tempatan, manakala baki 36 lagi bagi syarikat asing.

“Bagi insentif cukai pula, sebanyak 105 projek dengan jumlah pelaburan RM10.15 bilion telah diluluskan,” katanya.

Zuaida juga berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2022, MIDA mengeluarkan kelulusan untuk 19 status IILS, dengan jumlah pelaburan RM156.59 juta.

Dua projek dengan jumlah pelaburan RM874.24 juta turut diberi insentif cukai.

Meningkatkan lagi perkhidmatan logistik

MIDA akan terus meninjau, menarik dan memudahkan pelaburan berteknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan berintensifkan modal untuk menjana kesan pengganda kepada ekonomi.

Pandemik mempercepat keperluan untuk pendigitalan merentas landskap perniagaan.

Memandangkan logistik penting untuk pelbagai sektor, kadar gangguan digital ke atas proses rantaian bekalan tradisional akan meningkat seiring dengan kemajuan sektor lain.

Zuaida menekankan bahawa program dan inisiatif yang diwujudkan bertujuan antaranya memperkukuh kesambungan digital, meningkatkan keupayaan tenaga kerja sedia ada dan membangunkan bakat serta kemahiran baharu.

“Semasa tempoh perubahan ini, Malaysia memiliki ramuan yang diperlukan untuk berjaya. Usaha yang berterusan bagi menambah baik infrastruktur logistik, mengurangkan karenah birokrasi dan mengeratkan lagi hubungan perdagangan dengan negara rakan kongsi adalah penting di samping menyediakan pengalaman yang lancar untuk peserta logistik dalam rantaian bekalan mereka,” katanya.

Cabaran dan strategi dalam bergerak ke hadapan

MIDA menggalakkan syarikat tempatan untuk menjalinkan perkongsian dengan peserta global supaya pengalaman, kapasiti dan keupayaan luas mereka dapat dimanfaatkan.

Melalui kerjasama seperti itu, syarikat tempatan boleh menggunakan kepakaran MNC untuk mewujudkan pemindahan teknologi dan pengetahuan.

Zuaida berkata, program rantaian bekalan MIDA bertujuan mewujudkan peluang bagi syarikat domestik dan juga menyokong MNC melakukan penyumberan luar aktiviti pembuatan dengan syarikat domestik.

“Ia membangunkan dan menaik taraf syarikat domestik untuk pertumbuhan dalam pelaburan domestik, dan menggalakkan penerimagunaan automasi dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) oleh MNC dan vendor mereka.

“MIDA juga menganjurkan persidangan rantaian bekalan dengan syarikat utama terpilih yang melibatkan MNC dan syarikat domestik secara berkala.

“Antara syarikat utama yang telah bekerjasama dengan MIDA pada 2022 termasuk AT&S dan VAT Manufacturing Malaysia. Objektif persidangan ini adalah meningkatkan manfaat yang disediakan oleh MNC kepada komuniti perniagaan tempatan,” katanya.

Malaysia mahu menggunakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai sebahagian daripada trend mega global masa kini.

“Dasar Pelaburan Baharu menggariskan strategi penting untuk menggiatkan semula dan memangkinkan ekosistem pelaburan Malaysia bagi mencapai pertumbuhan ekonomi mampan, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan berteknologi tinggi, dan meningkatkan taraf hidup dan mata pencarian rakyat serta menjamin kemakmuran bersama,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon