B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia sasar muncul lima teratas dunia dalam industri acara perniagaan

Malaysia sasar muncul lima teratas dunia dalam industri acara perniagaan

15 Apr 2021

Malaysia berusaha untuk menjadikan industri acara perniagaan berada pada kedudukan lima teratas dunia dalam tempoh 10 tahun sebagaimana digariskan dalam Pelan Pemasaran Strategik Acara Perniagaan Malaysia (SMP) 2021-2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen Pameran Malaysia (MyCEB) Datuk Seri Abdul Khani Daud berkata matlamat itu mampu dicapai dengan membawa masuk acara “World Expo” ke dalam negara kerana negara-negara ASEAN khususnya masih belum menganjurkan sebarang pameran dari luar.

“Maka, jika kita boleh menjadi negara ASEAN pertama menganjurkan ‘World Expo’, ia akan mewujudkan impak yang baik kepada industri acara perniagaan kita secara keseluruhan.

“Ini adalah satu inisiatif yang kita wujudkan dalam SMP 2021-2030 itu, iaitu mendapatkan ‘World Expo’ dianjurkan di negara kita,” kata beliau dalam sidang media selepas pelancaran Pelan Pemasaran Strategik Acara Perniagaan Malaysia (SMP) 2021-2030 di sini semalam yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Dalam ucapannya, Abdul Khani berkata MyCEB terpaksa membatalkan 60 acara dan menangguhkan 28 acara tahun lepas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, beliau berkata SMP 2021-2030 akan membuka laluan untuk acara perniagaan dan sukan di Malaysia yang mampu melonjakkan industri acara perniagaan negara menjadi lebih kukuh dari sebelumnya dalam dekad mendatang.

Beliau berkata SMP 2021-2030 menyasarkan untuk menyumbang tiga peratus ketibaan pelancong dalam industri pelancongan, selain daripada menjana 25,833 pekerjaan menjelang 2030.

“SMP 2021-2030 merupakan isyarat komitmen sektor itu dan kerajaan untuk bekerjasama buat dekad mendatang dengan mengenal pasti strategi baharu dan peluang baharu untuk berkembang dan mengukuhkan kewujudan kita dalam pasaran sedia ada,” katanya.

Sementara itu Nancy dalam ucapan perasmian berkata pelawat acara perniagaan berbelanja tiga kali ganda daripada pelancong biasa dan mempunyai kesan pengganda yang besar dengan 40 peratus daripada mereka datang dengan pasangan dan 60 peratus daripada mereka kembali sebagai pelancong.

Bagaimanapun, beliau berkata ramai yang terlepas pandang bahawa sektor acara perniagaan melakukan sumbangan lebih besar menjangkaui ringgit dan sen.

“Menurut UNTWO (Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) selain daripada menjadi satu pemacu utama pembangunan industri pelancongan, sektor acara perniagaan adalah penjana utama pendapatan, pekerjaan dan pelaburan, manfaatnya menjangkaui pelancongan.

Sejajar dengan aspirasi kementerian, SMP 2021-2030 menumpukan kepada pembangunan pelancongan yang lestari selain memfokuskan kepada pelancong dengan pulangan-tinggi kepada negara,” katanya.

SMP 2021-2030 ialah satu acara MyCEB untuk industri acara perniagaan Malaysia dengan tiga teras utama, pengoptimuman, berpandangan jauh dan berdaya saing.

SMP menilai kekuatan dan kelemahan lalu dengan memproses data dalaman bagi merangka strategi masa hadapan dan pelan tindakan sambil mengamalkan pendekatan pemasaran mampan dipacu proses penyesuaian pendigitalan dan inovasi berterusan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon