Malaysia rekod pelaburan langsung asing RM74.6 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia rekod pelaburan langsung asing RM74.6 bilion

Malaysia rekod pelaburan langsung asing RM74.6 bilion

16 Jun 2023

Malaysia merekodkan lonjakan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) pada 2022 sebanyak RM74.6 bilion berbanding RM50.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, pelaburan langsung Malaysia di luar negeri (DIA) turut meningkat dengan ketara kepada RM58.6 bilion berbanding RM19.4 bilion (2021), menjadikannya nilai tertinggi sejak 2014.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, prestasi menggalakkan bagi FDI dan DIA menunjukkan keadaan ekonomi yang memberangsangkan dalam negara yang menarik syarikat asing untuk terus melabur.

“Malah, ia juga memberikan impak kepada syarikat tempatan untuk terus mengembang dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan di luar negara,” katanya melalui kenyataan Statistik Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia dan Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negeri bagi 2022 yang diterbitkan hari ini.

DOSM berkata, berdasarkan kepada prestasi FDI mengikut sektor, sektor pembuatan berkembang

RM17.1 bilion untuk merekodkan aliran masuk bersih RM49.5 bilion.

Sektor itu, katanya menarik 66.4 peratus dari jumlah pelaburan, terutamanya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan pembuatan lain.

“Sektor perkhidmatan pula menjadi penyumbang kedua terbesar terutamanya dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan terutamanya dalam bentuk ekuiti & dana pelaburan saham,” katanya.

Rantau Amerika pula menjadi penyumbang tertinggi FDI bagi 2022 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM42.6 bilion, terutamanya daripada Amerika Syarikat (AS) yang berjumlah RM37.8 bilion.

“Namun pada akhir 2022, kedudukan FDI telah meningkat kepada RM879.1 bilion berbanding RM782 bilion pada tahun sebelumnya.

“Asia menjadi sumber utama kedudukan FDI dengan nilai sebanyak RM449.0 bilion, diikuti oleh Eropah pada RM224.5 bilion dan Amerika pada RM187.3 bilion pada akhir 2022,” katanya.

Bagi DIA pula, peningkatan sebanyak RM39.3 bilion kepada RM58.6 bilion disumbangkan oleh aliran keluar yang lebih tinggi dalam ekuiti dan keuntungan yang dikekalkan di luar negara.

Perkhidmatan kekal sebagai sektor utama bagi DIA, menyumbang 72.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan terutamanya dalam aktiviti kewangan.

“Asia memintas Eropah sebagai rantau utama bagi aliran DIA pada 2022 dengan nilai sebanyak RM23.5 bilion terutamanya ke Indonesia dan Singapura.

“Ini diikuti oleh Eropah dan Amerika masing-masing pada RM21.0 bilion dan RM12.0 bilion. Secara keseluruhannya, negara penyumbang utama bagi aliran DIA adalah terutamanya disalurkan ke Belanda, Indonesia dan Singapura,” katanya.

DOSM berkata, pendapatan yang diperoleh pada pelaburan 2022 menunjukkan bahawa pelabur FDI dan DIA terus menikmati pulangan yang tinggi terhadap pelaburan mereka.

Perkembangan itu, katanya adalah disebabkan pandemik COVID-19 mula mereda dan ekonomi global kembali pulih.

Namun, dari segi purata, ia berkata pulangan pelaburan bagi syarikat FDI pada tahun lalu sedikit menurun kepada 12 sen daripada 13 sen pada 2021 bagi setiap RM1 pelaburan.

“Manakala, syarikat Malaysia menerima lapan sen bagi setiap RM1 pelaburan yang dibuat di luar negara.

“Ini terutamanya dalam sektor perkhidmatan yang memperoleh pendapatan tertinggi daripada FDI, sementara sektor pembuatan memperoleh pendapatan tertinggi daripada DIA,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon