B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia raih hampir RM2 bilion pelaburan TF AMD – Azmin

Malaysia raih hampir RM2 bilion pelaburan TF AMD – Azmin

13 Mei 2022

Malaysia meraih pelaburan bernilai hampir RM2 bilion daripada syarikat semikonduktor, TF AMD Microelectronics (Penang) Sdn Bhd, susulan penyerahan surat kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kepada syarikat itu semalam.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan itu untuk pelan pengembangan syarikat, yang akan mewujudkan 2,000 pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Ini sejajar dengan hala tuju Malaysia ke arah menggalakkan inovasi dan nilai tambah berimpak tinggi untuk perniagaan tempatan dan kekal sebagai hab pembuatan di rantau ini,” katanya dalam Twitter selepas menyaksikan majlis penyerahan itu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini.

Surat kelulusan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman kepada Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan Bendahari TF-AMD Datuk Devinder Kumar.

Azmin, TF-AMD telah melabur kira-kira RM900 juta di Malaysia setakat ini.

“Devinder sudah menyatakan komitmen syarikat untuk mewujudkan peluang kerjasama dengan vendor dan universiti tempatan.

“Ini termasuk menyasarkan untuk menggaji lebih 2,000 pekerja tambahan kebanyakannya daripada latar belakang sains dan teknikal serta membangunkan vendor tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang dalam bidang Industri 4.0, automasi dan perkhidmatan kejuruteraan,” katanya.

Azmin berkata, perjalanan pertumbuhan TF-AMD dengan Malaysia menjangkau lima dekad dan telah melabur di Malaysia dalam pelbagai bahagian rantaian nilai semikonduktor sepanjang tempoh itu.

“TF-AMD sudah memainkan peranan penting dalam membangunkan kapasiti dan keupayaan yang kita saksikan dalam ekosistem semikonduktor Malaysia hari ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan pengetahuan yang dibawa oleh TF-AMD, pengembangan strategik akan membuka peluang yang luas bukan sahaja menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi, tetapi turut mewujudkan tenaga kerja yang baik melalui program latihan, inisiatif peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Saya optimis bahawa kerjasama ini akan menyaksikan 50 tahun lagi dan saya berharap untuk berada dalam perjalanan pertumbuhan ini dengan TF-AMD.

“Kepada TF-AMD, saya katakan: Kami menghargai kerjasama anda dan kami menantikan 50 tahun lagi di Malaysia,” katanya dalam Twitter.

Sementara itu, Arham berkata pihaknya menantikan sumbangan daripada TF-AMD untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia, lebih banyak peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mereka menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan serta peluang kerjasama dengan vendor dan universiti tempatan.

“Ini sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional Malaysia, apabila kami menyasarkan lebih banyak projek berteknologi tinggi, berteraskan modal dan pengetahuan ke Malaysia,” katanya kepada Bernama di luar majlis penyerahan tersebut. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon