B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia mampu kekal sebagai peneraju produk dan perkhidmatan halal – Tengku Zafrul

Malaysia mampu kekal sebagai peneraju produk dan perkhidmatan halal – Tengku Zafrul

28 Mac 2023

Malaysia boleh terus kekal sebagai peneraju produk dan perkhidmatan halal yang memenuhi standard kualiti tertinggi kerana negara mempunyai ekosistem dan strategi yang betul untuk meraih lebih banyak perniagaan halal global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yakin dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), visi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membangunkan platform industri dan perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Malaysia boleh mengekalkan kedudukan penerajuannya.

“Malaysia terkenal sebagai pembekal utama pelbagai produk dan perkhidmatan diperakui halal, seperti makanan, kosmetik, farmaseutikal, kewangan dan pelancongan.

“Untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi halal Malaysia, kerajaan baru-baru ini melancarkan HIMP 2030 yang menggariskan pelan tindakan jelas mengenai bagaimana kita boleh memanfaatkan secara strategik peningkatan permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan halal, serta mengukuhkan penerajuan Malaysia dengan memanfaatkan ekosistem industri halal kita yang diperakui dunia dan pakar kumulatif,” katanya dalam ucapan beliau pada pelancaran awal MIHAS 2023, di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia sekali lagi disenaraikan sebagai ekonomi halal utama dunia bagi sembilan tahun berturut-turut dan HIMP 2030 akan membantu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dunia dalam industri halal.

Menerusi HIMP 2030, MITI mengunjurkan industri halal berkembang kepada US$113.2 bilion menjelang 2030, dengan sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 8.1 peratus pada 2025.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata MIHAS, sebagai platform B2B yang semakin berkembang kukuh, juga diangkat sebagai satu daripada pemacu utama yang membangunkan momentum halal dengan meneroka bidang baharu dan peluang yang belum dimanfaatkan dalam industri.

Edisi MIHAS 2023 ke-19 yang dihoskan oleh MITI dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan diadakan selama empat hari bermula 12-15 Sept, 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pameran itu yang bertemakan ‘Paving the Way of Halal’, akan menampilkan trend, teknologi dan inovasi halal terkini merangkumi 12 kluster terdiri daripada makanan dan minuman; fesyen dan gaya hidup sederhana; kosmetik dan penjagaan peribadi; teknologi dan pembungkusan makanan, selain kewangan dan teknologi kewangan (fintech) Islam, media dan rekreasi, runcit dan francais, hospitaliti dan pelancongan mesra Muslim, farmaseutikal dan perubatan, perkhidmatan dan pendaya, pendidikan, e-dagang, dan seni dan budaya Islam.

MIHAS 2023, dijangka menjadi edisi terbesar pasca pandemik kerana ia diunjur menarik lebih 35,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa serta 1,500 reruai dan menyasarkan 40 pavilion negara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon