B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia komited lengkapkan proses ratifikasi RCEP pada Disember ini

Malaysia komited lengkapkan proses ratifikasi RCEP pada Disember ini

21 Sep 2021

Malaysia memberi komitmen untuk melengkapkan proses ratifikasi bagi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang pertengahan Disember ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri  Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  berkata,  proses ratifikasi  tersebut merupakan  lanjutan daripada perjanjian yang telah dimeterai  oleh 15 negara iaitu masing-masing  10 negara anggota ASEAN dan lima Negara Rakan Perjanjian

Dagangan Bebas (FTA)  ASEAN dalam Sidang Kemuncak RCEP Ke-4 pada 15 Nov, 2020.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan dalam Perjanjian RCEP, ianya akan berkuatkuasa dalam tempoh 60 hari selepas sekurang-kurangnya enam negara anggota ASEAN dan tiga Negara Rakan FTA ASEAN menyerahkan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN.

Sehingga kini, negara-negara yang telah meratifikasi Perjanjian ini adalah Singapura, China dan Jepun.

Myanmar pula telah menghantar surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN manakala Thailand telah melengkapkan proses ratifikasi domestik dan akan menghantar surat berkenaan kepada Sekretariat ASEAN pada hujung tahun ini.

“Bagi Malaysia, proses ratifikasi RCEP itu memerlukan usaha pindaan ke atas tiga Akta di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang berkaitan Hak Harta Intelek (IPR) iaitu Akta Paten, Akta Hak Cipta dan Akta Cap Dagang.

“Ini bagi memastikan semua akta tersebut adalah sejajar dengan obligasi negara di bawah perjanjian berkenaan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Tiong King Sing (PDP-Bintulu) mengenai  status terkini RCEP serta rancangan untuk meningkatkan kerjasama antara negara-negara yang memeterai perjanjian itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia dengan pasarannya meliputi hampir satu pertiga daripada penduduk dunia atau menyamai 2.2 bilion orang.

Menurut data Bank Dunia pada 2019, nilai gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara-negara anggota RCEP adalah sebanyak AS$25.8 trilion (RM106.9 trilion) atau 29.44 peratus KDNK dunia dengan nilai perdagangan barangan RCEP dicatatkan berjumlah AS$10.4 trilion (RM43.1 trilion) atau 29.13 peratus.

Menjelaskan selanjutnya, Mohamed Azmin berkata pada sesi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-53 yang berlangsung pada 9 Sept, 2021, negara-negara anggota ASEAN telah menyasarkan tarikh kuat kuasa Perjanjian RCEP pada 1 Jan, 2022.

Negara-negara seperti Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Vietnam juga telah memaklumkan hasrat masing-masing untuk melengkapkan proses ratifikasi domestik menjelang November 2021.

Beliau juga mengingatkan, sebarang kelewatan meratifikasi perjanjian RCEP itu akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dari segi menikmati faedah dan layanan keutamaan seperti yang terkandung dalam RCEP.

“Ini termasuk pengurangan tarif ke atas barangan eksport, akses pasaran perdagangan perkhidmatan, pergerakan pekerja profesional dan berkemahiran tinggi serta peluang untuk meningkatkan aktiviti pelaburan dalam kalangan negara-negara anggota RCEP,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas perancangan untuk meningkatkan kerjasama antara negara-negara anggota RCEP, beliau berkata usaha-usaha itu adalah secara berterusan dan seiring dengan matlamat utama perjanjian berkenaan bagi mengukuhkan aktiviti rantaian nilai serantau selain menjadikannya lebih mesra pengguna serta mudah digunakan.

Menyentuh impak pandemik COVID-19 yang mengubah  corak permintaan pengguna  masa kini selain penekanan terhadap ekonomi digital  khususnya e-dagang, beliau berkata perjanjian RCEP telah memperuntukkan satu bab khas berkaitan perdagangan elektronik (e-dagang).

“Ianya bagi membantu ke arah mempertingkat penyertaan perniagaan terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS) dalam e-dagang.

“Bab tersebut juga telah mensyaratkan supaya negara-negara anggota untuk menerimapakai kerangka undang-undang yang akan mewujudkan persekitaran kondusif demi kemajuan sektor e-dagang negara masing-masing dan seterusnya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, bab sama juga memberi penekanan terhadap perlindungan maklumat peribadi pengguna, terutama dari segi pemindahan maklumat rentas sempadan melalui medium elektronik.

“Langkah ini semua akan meningkatkan keyakinan para pengguna untuk menggunakan platform e-dagang,” katanya.

Beliau juga menyifatkan penekanan RCEP terhadap pengukuhan kerangka undang-undang dan kawal selia dalam sektor pertumbuhan ekonomi baharu seperti sektor e-dagang ini akan dapat membantu mempercepat proses pemulihan ekonomi serantau yang terjejas teruk akibat kesan COVID-19.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon