B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia kekal pada trajektori untuk pemulihan negara Rantau APEC catat pertumbuhan ekonomi kukuh

Malaysia kekal pada trajektori untuk pemulihan negara Rantau APEC catat pertumbuhan ekonomi kukuh

17 Ogo 2021

Rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mencatatkan peningkatan 6.1 peratus untuk pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2021, melantun dengan kukuh daripada penguncupan dua peratus pada suku pertama 2020.

Menurut laporan terkini oleh Unit Sokongan Dasar APEC (PSU), cabang penyelidikan dan analisis untuk forum berkenaan, angka ini selesa untuk meletakkan rantau di landasan tepat untuk mencapai pertumbuhan bagi tahun 2021 yang diunjurkan pada 6.4 peratus.

Laporan itu menyatakan pertumbuhan yang tinggi pada suku pertama 2021 didorong oleh gabungan beberapa faktor termasuk titik perbandingan yang rendah berikutan penguncupan ekonomi yang besar setahun lalu selain perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi berikutan kesan pandemik yang berterusan terhadap aktiviti ekonomi, sementara penggunaan domestik pula meningkat dengan ketara dalam tempoh ini.

Dalam jangka masa terdekat ini, unit itu masih melihat langkah-langkah rangsangan daripada kerajaan untuk mendorong pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

Menurut laporan itu lagi, penggunaan swasta akan turut mendapat keyakinan kerana pengguna dijangka dapat memanfaatkan simpanan mereka yang terkumpul, sebahagiannya disebabkan oleh pemindahan wang tunai dan subsidi yang luas kepada isi rumah.

“Program dan pemberian vaksinasi masih memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan pemulihan di rantau ini.

“Kami masih melihat jurang perbezaan dalam akses kepada liputan vaksinasi di seluruh APEC; ekonomi dengan pemberian vaksin yang lebih cepat serta sokongan fiskal berterusan akan pulih lebih pantas dan kuat, sementara ekonomi yang masih bergelut mendapatkan akses vaksin dan mempunyai ruang fiskal yang terhad akan memerlukan lebih banyak masa untuk pulih kerana ketidakpastian ini,” demikian menurut kata pengarah PSU APEC, Dr Denis Hew.

Liputan vaksinasi di seluruh APEC sangat berbeza, antara 148 dos untuk setiap 100 penduduk hingga ke serendah hanya satu dos setiap 100 penduduk.

Akibatnya, kadar mereka yang mendapat vaksinasi lengkap merentasi seluruh ekonomi amat berbeza, daripada serendah 0.2 peratus sehingga setinggi 72 peratus penduduk setakat pertengahan bulan Ogos.

“Perlumbaan dalam usaha untuk memberi vaksin kepada sebanyak mungkin penduduk dalam jangka waktu sesingkat yang boleh sangat penting.

“Ekonomi tidak mampu terus mengenakan sekatan, menutup sempadan dan memberikan sokongan fiskal dan monetari yang luas tanpa batas waktu,” kata penyelidik di PSU APEC, Rhea C Hernando.

Beliau berkata, kerjasama pelbagai hala adalah kunci dalam memudahkan aliran bebas komponen vaksin dan bekalan yang berkaitan kerana ini akan secara signifikan menyumbang kepada kebolehaksesan dan kemampuan vaksin, terutama bagi ekonomi berpendapatan rendah dan sederhana.

“Sudah jelas sekarang ini, untuk pemulihan ekonomi terus kukuh, kesihatan perlu dijaga dan oleh itu akses kepada vaksin amat diperlukan dengan segera untuk melindungi sebanyak mungkin nyawa,” kata Hernando.

Mengenai perdagangan, rantau ini menunjukkan prestasi positif pada suku pertama tahun 2021, dengan nilai eksport barang dagangan dan import masing-masing meningkat pada kadar yang lebih tinggi sebanyak 16.8 peratus dan 16.2 peratus daripada penguncupan 6.1 peratus untuk eksport dan 4.1 peratus untuk import dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Peningkatan prestasi ini terutama dirangsang oleh farmaseutikal dan peralatan pejabat dan komunikasi, sementara sektor pertanian, pakaian, logam dan mineral juga membantu meningkatkan perdagangan, tambah laporan itu.

Impak Covid-19 yang tidak berubah terhadap sektor pengangkutan dan perjalanan/pengembaraan terus mengheret prestasi perkhidmatan komersial APEC.

Dari tempoh Januari hingga Mac 2021, perkhidmatan komersil terus merosot kepada 12 peratus untuk eksport dan 15.2 peratus untuk import, berbanding penurunan 9.5 peratus untuk eksport dan 9.2 peratus untuk import untuk tempoh yang sama pada tahun 2020.

Laporan itu turut maklum terdapat peningkatan inflasi pada separuh pertama 2021 kepada 2.3 peratus berbanding 1.6 peratus pada separuh pertama 2020 dan ini disebabkan oleh normalisasi harga secara bertahap.

Inflasi dijangka kembali ke tahap prapandemik di seluruh dunia apabila faktor harga mengambil kira gangguan bahagian bekalan berkaitan dengan pandemik.

Menurut laporan itu, unjuran inflasi sepanjang tahun untuk rantau APEC adalah dua peratus dan boleh meningkat menjadi 2.2 peratus pada pada tahun 2022.

Ia juga menambah tekanan harga memerlukan pemantauan berterusan dan komunikasi yang jelas daripada pihak berkuasa dasar monetari untuk memandu jangkaan inflasi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon