B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia di landasan tepat tarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi – Tengku Zafrul

Malaysia di landasan tepat tarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi – Tengku Zafrul

04 Ogo 2023

Malaysia berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan usaha negara menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi, seterusnya melonjakkan ekonomi negara ke tahap lebih baik.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau yakin insentif-insentif tersedia dan fokus yang diberikan kepada sektor-sektor utama mampu memacu sektor buruh, pendapatan isi rumah dan kelestarian ekonomi.

Lima sektor utama yang diberikan perhatian adalah aeroangkasa, bahan kimia/petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik dan farmaseutikal.

Bercakap pada program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini, katanya Malaysia juga sentiasa mengekalkan perhubungan diplomatik dengan rakan dagang penting dan sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) bagi memastikan pelabur terus menunjukkan keyakinan untuk melabur di Malaysia.

Memberikan contoh, beliau berkata pengumuman pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro (1 euro=RM4.99) oleh syarikat semikonduktor Jerman, Infineon Technologies AG yang diumumkan semalam menzahirkan keyakinan pelabur terhadap gagasan Ekonomi MADANI.

Syarikat itu mengumumkan pengembangan kemudahannya di Kulim, Kedah untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro (1 euro=RM4.99) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut syarikat itu, pelaburan tersebut akan menyumbang kepada potensi perolehan SiC tahunan kira-kira tujuh bilion euro menjelang akhir dekad ini, selain penukaran SiC 200-mm di Villach, Austria dan Kulim, Kedah.

Di sebalik keyakinan itu,Tengku Zafrul berkata negara turut menyaksikan pemulihan prestasi ringgit.

“Kita dapat lihat syarikat tempatan dan antarabangsa semakin banyak melabur dan pada masa sama, yang penting kita dapat melihat asas ekonomi semakin kukuh dari segi pekerjaan serta penurunan pengangguran dan inflasi.

“Kesemuanya melibatkan keyakinan sebenarnya. Saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar 4.0 hingga 5.0 peratus pada akhir tahun ini dan ini akan mengukuhkan lagi mata wang ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menekankan kepentingan untuk penggiat tempatan melengkapkan ekosistem negara melalui pelaburan langsung domestik bagi menyokong keperluan pelabur asing.

“FDI tidak akan datang ke Malaysia jika syarikat tempatan gagal menyediakan bekalan, misalnya bahan mentah dan perkhidmatan yang cukup serta bakat yang dapat menjalankan tugas,” katanya.

Justeru, menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dijangka dilancarkan bulan ini, pelan itu akan meneraju daya tahan perusahaan kecil dan sederhana antaranya menerusi automasi dan inovasi.

Tengku Zafrul berkata NIMP 2030 adalah kerangka dasar yang komprehensif dan jelas dalam mentransformasi sektor perindustrian Malaysia dan satu pasukan khas akan ditubuhkan untuk memfokuskan kepada pelaksanaan dan keberhasilannya yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon