B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia di kedudukan kedua di Asia Pasifik bagi hubungan global

Malaysia di kedudukan kedua di Asia Pasifik bagi hubungan global

03 Dis 2020

Malaysia di kedudukan kedua dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik dan ke-16 daripada 169 negara untuk hubungan global berdasarkan aliran perdagangan antarabangsa, modal, maklumat dan orang ramai, menurut DHL Global Connectedness Index (GCI) 2020.

Negara juga bersama dengan Kemboja, Singapura, Vietnam dan Belanda sebagai antara yang mencatatkan prestasi yang baik dari segi aliran antarabangsa berdasarkan kekuatan ekonomi, saiz dan lokasi.

“Malaysia dapat memberikan kualiti yang baik dengan pertumbuhan sebanyak 20 hingga 30 peratus sebahagian besarnya didorong oleh e-dagang dan prospek yang dijangka positif selain menjadi antara negara yang pesat berkembang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif DHL Express John Pearson pada sidang media secara maya hari ini.

Menurut laporan itu, Malaysia mendahului rakan-rakannya dari segi hubungan global yang melebihi jangkaan.

Katanya negara-negara Asia Tenggara mendapat manfaat daripada hubungan dengan rangkaian rantaian bekalan Asia yang lebih luas dan inisiatif dasar ASEAN yang menggalakkan integrasi ekonomi serantau.

Di peringkat global, katanya unjuran semasa menunjukkan indeks akan merosot dengan ketara pada 2020 berikutan impak daripada COVID-19 ke atas masyarakat seperti pintu sempadan ditutup, sekatan perjalanan dan pesawat penumpang yang tidak melakukan penerbangan selepas kukuh pada 2019.

“Bagaimanapun, pandemik dijangka tidak menyebabkan tahap hubungan dunia secara keseluruhan di bawah paras semasa krisis kewangan global 2008 dan 2009.

“Aliran perdagangan dan modal mula pulih serta aliran data antarabangsa melonjak semasa pandemik berikutan ‘in-person contact’ memasuki dunia dalam talian, meningkatkan trafik internet antarabangsa, panggilan telefon dan e-dagang,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata Malaysia telah mendapat manfaat daripada globalisasi yang meningkatkan daya saing ekonomi dan menjadikan negara sebagai tapak pembuatan utama untuk jenama global.

“Walaupun pandemik telah menyekat pergerakan dan menjejaskan perniagaan, ia turut memberi banyak peluang dan membuka pintu kepada perdagangan rentas sempadan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon