B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, China perlu manfaat koridor perdagangan darat-laut antarabangsa baharu, RCEP – MITI

Malaysia, China perlu manfaat koridor perdagangan darat-laut antarabangsa baharu, RCEP – MITI

12 Ogo 2022

Malaysia dan China harus memanfaatkan Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memantapkan hubungan perdagangan dan pelaburan sedia ada, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri Datuk Lim Ban Hong berkata China dipelawa untuk memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk yang sesuai bagi perusahaan China memasuki pasaran ASEAN dan meningkatkan aktiviti perdagangan menerusi RCEP, terutamanya dalam projek pembuatan berteknologi tinggi dan industri yang pesat membangun.

“Permulaan dan pelaksanaan RCEP akan meningkatkan lagi potensi perdagangan barangan antara Malaysia dan China, membantu mengubah dan menaik taraf industri serantau serta menyuntik kerancakan baharu ke dalam pembangunan ekonomi serantau.

“Berikutan Malaysia yang terletak secara strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, kita berada pada kedudukan yang baik untuk berfungsi sebagai pintu masuk ke rantau ASEAN. Syarikat dari Malaysia dan China mesti bekerjasama rapat sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan RCEP. Ini penting dalam masa kemelesetan global dan gangguan rantaian bekalan,” katanya.

Dalam ucapannya di Forum Pelaburan Malaysia-China (Chongqing) 2022 bertemakan ‘Terokai Peluang dan Pembangunan RCEP dalam Sektor Strategik’ hari ini, Lim memetik kajian Bank Pembangunan Asia bahawa RCEP akan meningkatkan pendapatan ekonomi ahli sebanyak 0.6 peratus menjelang 2030, menambah US$245 bilion setiap tahun kepada pendapatan serantau dan 2.8 juta pekerjaan kepada pekerjaan serantau.

Selain itu, RCEP juga telah memperkenalkan peraturan e-dagang yang digabungkan dan peruntukan kemudahan perdagangan, yang akan memperluaskan lagi skop kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang seperti e-dagang rentas sempadan, transformasi digital perusahaan tradisional dan infrastruktur digital, katanya.

Beliau menambah bahawa analisis terkini Boston Consulting Group mendapati kenderaan elektrik (EV) berkuasa bateri akan berjumlah 20 peratus daripada jualan global menjelang 2025 dan 59 peratus pada 2035.

Oleh itu, beliau mempelawa syarikat EV dari Chongqing untuk meneroka perkongsian awam-swasta untuk bersama-sama membangunkan infrastruktur dan pembuatan pengecasan EV di Malaysia.

Sementara itu, Lim berkata Chongqing ialah salah satu daripada tiga pangkalan utama di China untuk pembuatan automotif yang telah merangsang permintaan tinggi bagi alat ganti automotif, dan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus menjadi rakan kongsi sumber bagi memenuhi permintaan kerana ia merupakan negara sumber import terbesar casis yang dipasang dengan enjin untuk traktor dan kenderaan bermotor ke China pada 2020 dan sumber import kedua terbesar pada 2021.

Beliau berkata industri itu kekal sebagai segmen penting dan strategik sektor pembuatan Malaysia, menyumbang 4.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan terus menjadi pasaran automotif ketiga terbesar di ASEAN.

Bagi sektor minyak sawit, pertukaran perdagangan antara Malaysia dan China kekal tinggi kerana China merupakan pengimport kedua terbesar minyak sawit Malaysia, yang mencatatkan jumlah nilai eksport produk pertanian Malaysia ke China sebanyak RM23.75 bilion pada 2021.

“Minyak sawit dan produk minyak sawit mewakili 57.4 peratus atau RM13.63 bilion daripada jumlah eksport produk pertanian Malaysia ke China,” katanya.

Menurut statistik China, jumlah perdagangan China dengan Malaysia berjumlah US$96.93 bilion, meningkat 18.2 peratus secara tahunan untuk enam bulan pertama 2022, kata Lim.

Beliau berkata jumlah perdagangan China dengan Malaysia mencapai rekod tertinggi US$176.8 bilion pada 2021.

“Kerjasama kukuh kami dicerminkan menerusi perdagangan dan pelaburan yang mampan. Sejak 2009, China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia dan menyumbang 18.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2021,” katanya.

Dari segi pelaburan, 43 projek pembuatan telah diluluskan dari China pada 2021, dengan pelaburan bernilai US$3.98 bilion, menjana hampir 14,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon