B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia catat pelaburan dilulus RM80.6 bilion bagi suku pertama 2021

Malaysia catat pelaburan dilulus RM80.6 bilion bagi suku pertama 2021

09 Jun 2021

Malaysia merekodkan pelaburan dilulus bernilai RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021, melonjak 95.6 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata strategi agresif berterusan untuk menarik pelaburan peringkat tinggi daripada pelabur asing dan juga tempatan menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Pelaburan diluluskan ini melibatkan 993 projek dan dijangka menjana 32,557 peluang pekerjaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ketika Malaysia meneruskan perjuangan menangani pandemik COVID-19, negara kekal sebagai destinasi pelaburan utama dan pintu masuk strategik bagi pelabur.

“Negara berusaha gigih menyediakan kepada pelabur keperluan dan peralatan moden terkini. Nilai unik sebagai hab operasi global dan pelaburan berteknologi tinggi akan menarik aktiviti pelaburan berkualiti yang berterusan di negara ini.

“Dengan dasar menyokong perniagaan, berhemat dan pragmatik, Malaysia berfungsi sebagai rakan yang ideal bagi pelabur untuk menjalankan perniagaan di rantau ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata kerajaan, menerusi MIDA, akan menyediakan kepakarannya dalam melaksanakan inisiatif pembaharuan serta dasar dan pelan dan rangka tindakan yang baru dibangunkan, untuk meningkatkan daya saing negara, menggalakkan pelaburan dan mempercepat pembangunan ekonomi nasional sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama meningkat sebanyak 383.4 peratus kepada RM54.9 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 daripada RM11.4 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Sementara itu, pelaburan langsung domestik (DDI) membentuk baki selebihnya sebanyak RM25.7 bilion, menyumbang 31.9 peratus kepada jumlah pelaburan dilulus dalam kesemua ketiga-tiga sektor tersebut.

Sektor pembuatan menerajui pelaburan bagi Suku Pertama 2021, merekodkan RM58.8 bilion daripada 246 projek pembuatan berbanding RM25.9 bilion daripada 226 projek pembuatan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ia disusuli sektor perkhidmatan sebanyak RM15.6 bilion dan sektor utama pada RM6.2 bilion.

Setakat Mac 2021, MIDA mempunyai dalam perancangan, 988 projek dengan cadangan pelaburan bernilai RM54.4 bllion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X