B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia berada di landasan capai liputan 80 peratus 5G menjelang akhir tahun

Malaysia berada di landasan capai liputan 80 peratus 5G menjelang akhir tahun

15 Ogo 2023

Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran liputan rangkaian 5G sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang akhir tahun ini.

Setakat 31 Julai lepas, rangkaian 5G berada pada 66.8 peratus CoPA, manakala 4G telah mencapai 96.2 peratus CoPA di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Dalam ucapan perasmiannya di “Amplify Malaysia” Nokia, satu acara untuk mempamerkan visi penjenamaan serta teknologi terkini Nokia, beliau memberitahu firma telekomunikasi itu telah memainkan peranan penting dalam perkembangan ini dengan menyampaikan rangkaian 5G kepada banyak negara yang telah melancarkan perkhidmatan 5G komersial.

“Adalah amat jelas bahawa teknologi menjadi alat penting dalam kehidupan seharian kita. Menjelang 2025, ekonomi digital Malaysia diunjur menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau lebih RM382 bilion selain mewujudkan setengah juta pekerjaan.

“Ekonomi digital memainkan peranan utama dalam rangka kerja Ekonomi Madani bagi mewujudkan pasaran yang lebih besar kepada rakyat Malaysia agar mereka tidak terikat dengan pasaran tempatan,” katanya.

Kementerian Komunikasi dan Digital kini memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang diperlukan untuk merapatkan jurang digital serta menyediakan pakej Internet yang pantas dan berpatutan selain meningkatkan kemahiran celik digital negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nokia Malaysia, Sri Lanka dan Maldives, Datuk Mohd Rauf Nasir berkata portfolio Nokia terbahagi kepada empat kategori iaitu infrastruktur rangkaian, rangkaian mudah alih, perkhidmatan awan, rangkaian serta teknologi Nokia.

“Semua perkhidmatan Nokia ini terdapat di Malaysia, terutamanya infrastruktur rangkaian yang terdiri daripada rangkaian IP, rangkaian tetap, rangkaian optik dan rangkaian bawah laut.

“Daripada segi penawaran kepada syarikat telekomunikasi di sini, kita juga memberikan banyak pilihan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Nokia ingin mengambil bahagian sekiranya DNB memperkenalkan penyedia peralatan rangkaian kedua untuk penggunaan 5G di Malaysia selain Ericsson Sweden.

Nokia sudah mempunyai 303 tawaran 5G komersial di pasaran utama, seluruh dunia dengan 30 pengendali mudah alih teratas mengendalikan stesen pangkalan Nokia 4G/5G.

Nokia juga mempunyai lebih daripada 635 pelanggan tanpa wayar swasta komersial di pasaran global dengan lebih daripada 135 penggunaan radio 5G selain menjadi peneraju dalam pendigitalan industri menegak tradisional, katanya.

Mohd Rauf berkata menerusi ‘Amplify Malaysia’, Nokia mempamerkan strategi teknologinya, sekali gus, mengesahkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memacu serta mempercepatkan pertumbuhan digital, transformasi dan ekonomi Malaysia.

Dengan meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam inovasi di seluruh negara, Nokia memperkasakan perusahaan serta penyedia perkhidmatan komunikasi Malaysia untuk membuka keupayaan digital mereka dan menerima sepenuhnya peluang yang banyak yang dibentangkan oleh pendigitalan.

“Kita komited sebagai rakan kongsi dalam perjalanan transformasi digital Malaysia dengan melengkapkan perniagaan dengan keupayaan bagi mendorong matlamat digital mereka.

“Sebagai sebahagian daripada ini, kita berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan ekosistem perniagaan dalam memanfaatkan potensi rangkaian eksponen bagi mereka memacu kemajuan teknologi dan memperkenalkan kemampanan dalam landskap digital Malaysia.

“Dedikasi Nokia terletak pada usaha memperkasakan rakan kongsi dan pelanggan melalui penyelesaian misi kritikal firma bagi mewujudkan kehadiran transformatif untuk masa depan Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon