B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia berada di kedudukan ke-15 dari 20 hab teratas Fintech Asia

Malaysia berada di kedudukan ke-15 dari 20 hab teratas Fintech Asia

22 Dis 2021

Kuala Lumpur melonjak 11 tempat untuk berada di kedudukan ke 15 daripada 20 Hab Teratas Fintech Asia, mengikut laporan Asia Pacific Fintech Rankings: Bridging Divides.

Laporan oleh firma penyelidikan dan analitik global Findexable dan dikuasakan oleh Mambu, sebuah platform perbankan global perisian sebagai perkhidmatan (Saas), telah meletakkan Hong Kong, Singapura dan Sydney di Australia sebagai tiga hab fintech yang berada di kedudukan teratas.

Ia berkata negara-negara Asia adalah antara yang pertama melancarkan lesen perbankan pakar digital untuk menggalakkan bank digital (neobanks) sebagai sebahagian daripada strategi keterangkuman ekonomi yang lebih luas.

“Malaysia dan Singapura juga mempunyai sandbox kawal selia yang membolehkan bank digital memanjangkan beberapa perkhidmatan kepada pelanggan perintis tanpa lulus ujian kawal selia harian,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Findexable dan Pengasas Bersama, Simon Hardie berkata, kedudukan hab fintech Asia Pasifik adalah bukti kepelbagaian, kepintaran dan komitmen rantau ini terhadap inovasi.

“Dengan 45 hab di seluruh rantau ini, dengan satu pertiga lebih banyak dari tahun 2020, firma fintech di seluruh Asia Pasifik membuktikan fintech ialah enjin bagi ekonomi digital.

“Lebih penting lagi, seperti yang ditunjukkan oleh laporan ini, fintech menunjukkan bahawa membina perniagaan yang berjaya harus seiring dengan menyumbang kepada keterangkuman kewangan dan matlamat pembangunan yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Mambu, Myles Bertrand berkata, platform perbankan awan Saas telah menyaksikan pecutan yang menakjubkan dalam kadar inovasi fintech di seluruh rantau sepanjang tahun lalu dan penggunaan teknologi kewangan baharu kini dipacu terutamanya oleh permintaan pengguna yang tercetus daripada pandemik.

“Pengguna di seluruh Asia Pasifik telah mengalami bagaimana teknologi perbankan digital boleh menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dengan pelbagai cara yang lebih pantas, lebih selesa dan lebih murah untuk mengurus wang mereka,” katanya.

Beliau berkata, Asia telah menjadi tempat kepada hampir separuh daripada 20 hab teknologi kewangan global terbaik yang dikenal pasti dalam laporan itu tetapi peraturan yang berbeza dari satu negara ke negara lain boleh menjadi penghalang sebenar kepada pertumbuhan multinasional di rantau itu.

“Setiap bank pusat atau kerajaan mempunyai agenda tersendiri, jadi amat penting bagi fintech untuk bekerja secara kolaboratif dengan pengawal selia di setiap negara untuk memahami kebimbangan mereka dan membantu menyokong penciptaan ekosistem yang saling menguntungkan yang menyokong inovasi,” tambahnya.

Laporan itu menekankan peranan penting inovasi fintech dalam menutup jurang antara mereka yang mendapat perkhidmatan bank, tidak mendapat layanan perbankan dan tidak ada perkhidmatan perbankan, terutamanya di negara yang mungkin mempunyai tahap keterangkuman kewangan formal yang rendah tetapi tahap pemilikan telefon pintar dan penembusan internet yang tinggi.

Sumber: DagangNews

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X