B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia alu-alukan pelaburan dari ‘Greater Bay Area’ China

Malaysia alu-alukan pelaburan dari ‘Greater Bay Area’ China

29 Apr 2021

Malaysia sentiasa bersedia mengalu-alukan pelabur dari Greater Bay Area, China — Guangdong-Hong Kong-Macau — dalam pelbagai sektor terutama peneraju segmen teknologi tinggi seperti bioteknologi dan automasi kediaman pintar untuk mereka meneroka peluang yang ada di Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, dasar properniagaan Malaysia melengkapkan usaha kerajaan China untuk meningkatkan pelaburan dan kerjasama luar negara dengan negara lain.

“Saya pasti pelabur China akan mendapati Malaysia sebagai tempat yang menarik untuk mengembangkan operasi luar negara mereka, dan saya yakin pihak berkepentingan yang ada juga akan membuktikan komitmen kami terhadap kemajuan ekonomi dan mesra perniagaan.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan lebih banyak perniagaan, dari China dan Malaysia untuk terus bekerjasama bagi mencapai manfaat bersama dalam usaha ke arah pemulihan pasca-COVID-19,” katanya semasa sesi meja bulat secara maya dengan delegasi dari Shenzhen, China.

Sesi anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan kerjasama UOB Malaysia itu bertujuan memudahkan pelaburan masuk daripada syarikat sektor bernilai tambah tinggi utama China iaitu sektor elektrik dan elektronik (E&E), kimia, pembuatan dan perindustrian.

Delegasi China yang menyertai sesi itu merangkumi wakil UOB China; pejabat MIDA di China (Beijing, Shanghai dan Guangzhou); Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China serta pelabur berpotensi daripada 20 syarikat China yang mewakili sektor E&E, peralatan perubatan, automotif dan kimia.

Lim berkata, saranan nilai oleh Malaysia di Asia Tenggara sebagai pusat keuntungan bagi syarikat global, termasuk syarikat dari China, perlu diberi penekanan.

“Pelabur yang ingin mengembangkan kapasiti pengeluaran mereka di Malaysia dapat merealisasikannya secara cekap dan mudah susulan disokong oleh industri penyokong tempatan boleh dipercayai dan pelbagai.

“Selain itu kumpulan bakat muda dan berkualiti kami yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam banyak bahasa juga dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang ideal untuk pelabur asing kami,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui MIDA serta kerjasama dengan pihak berkepentingan akan menggiatkan usaha menarik projek bernilai tambah tinggi, berteknologi tinggi selain berintensifkan pengetahuan serta penyelidikan dan pembangunan, yang sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional Malaysia untuk menjana kesan pengganda ekosistem perindustrian domestik.

Walaupun persekitaran ekonomi global mencabar dalam keadaan pandemik COVID-19 pada 2020, Malaysia mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion, dengan RM64.2 bilion adalah daripada sumber pelaburan langsung asing (FDI).

China menyumbang 28.2 peratus atau RM18.1 bilion kepada FDI Malaysia.

Pengarah Eksekutif Penggalakan Pelaburan MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja dan Pengarah Urusan Perbankan Borong dan Ketua Negara bagi UOB Malaysia, Ng Wei Wei turut menyertai sesi meja bulat tersebut.

Ng berkata, setelah setahun mengalami gangguan perniagaan dan rantaian bekalan, pihaknya melihat peluang untuk Malaysia meraih manfaat daripada syarikat yang mempelbagaikan rantaian bekalan mereka ke Asia Tenggara.

“Selain itu, FDI ke negara ini, termasuk dari China, akan disokong oleh potensi ekonomi Malaysia yang pelbagai, asas yang kukuh dan demografi yang baik,” katanya.

Beliau juga berkata, UOB berada pada kedudukan yang baik untuk membantu lebih banyak syarikat daripada sektor bernilai tinggi, terutama dari Greater Bay Area, China untuk berkembang ke Malaysia.

“Pada masa yang sama, syarikat-syarikat ini juga boleh memanfaatkan banyak peluang di sepanjang koridor perdagangan serantau di antara Greater China dengan ASEAN.

“Berlandaskan kehadiran dalam pasaran, wawasan dan kepakaran, ditambah dengan perkongsian ekosistem yang kami ada, kami yakin dapat menarik dan memudah cara FDI bernilai tambah tinggi dari China ke Malaysia di samping merangsangkan ekonomi melalui penciptaan pekerjaan dan aktiviti perdagangan berkualiti,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon