Maersk berminat melabur di Pelabuhan Tanjung Pelepas - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Maersk berminat melabur di Pelabuhan Tanjung Pelepas

Maersk berminat melabur di Pelabuhan Tanjung Pelepas

06 Jul 2023

Maersk, syarikat pengangkutan maritim dan logistik global, menyatakan hasrat untuk melabur di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, dengan potensi pelaburan yang signifikan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketika berkongsi mengenai perkara itu dalam hantaran di laman Facebook, beliau berkata perkara itu telah dinyatakan dalam pertemuan dengan syarikat terbabit di Singapura sempena lawatan kerja beliau selama tiga hari mulai semalam ke republik berkenaan.

“Adalah penting untuk kedua-dua pihak meneliti dan memperincikan setiap aspek perancangan pembangunan serta pelaburan jangka panjang untuk kawasan PTP.

“Kerajaan negeri yakin dengan pengalaman Maersk sebagai penyedia perkhidmatan logistik terbaik serta prestasi PTP sebagai pelabuhan ke-15 terbaik dunia, mampu menarik lebih ramai pelabur serta memangkin ekonomi Johor ke tahap lebih cemerlang, insya-Allah,” kata beliau.

Turut hadir ialah Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor di Singapura (JETCO), Datuk Seri Ir Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

Pada Ogos 2022, Maersk dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang membabitkan perancangan untuk mewujudkan rangkaian hab logistik di Malaysia menerusi beberapa fasa sehingga 2030.

Bagi tahun lalu, Maersk berjaya merekodkan hasil pendapatan sebanyak AS$81.5 bilion dengan tenaga sebanyak 110,000 pekerja di seluruh dunia.

Sementara itu, dalam hantaran lain, Onn Hafiz berkongsi mengenai pertemuannya dengan Menteri Pembangunan Singapura, Desmond Lee, hari ini, dengan perbincangan menyentuh cadangan untuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura di Wilayah Iskandar Malaysia.

Perbincangan lain pula berkaitan usaha Johor meningkatkan kerjasama dengan Singapura demi kepentingan bersama rakyat masing-masing.

“Johor dan Singapura saling melengkapi dan hubungan istimewa yang terjalin selama ini perlu terus diperkukuh demi kemakmuran bersama.

“Kami turut berbincang mengenai persiapan bagi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) kali ke-16 yang akan diadakan di Singapura pada tahun ini,” kata beliau.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon