Lonjakan pelaburan digital tunjuk isyarat keyakinan pelabur - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lonjakan pelaburan digital tunjuk isyarat keyakinan pelabur

Lonjakan pelaburan digital tunjuk isyarat keyakinan pelabur

16 Ogo 2023

Pertambahan komitmen pelaburan dalam sektor ekonomi digital adalah isyarat jelas terhadap keyakinan pelabur dan prospek ekonomi digital yang kukuh dalam masa terdekat, kata ahli ekonomi.

Profesor ekonomi di Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata pertumbuhan positif sektor ini dijangka melonjakkan lagi sektor perkhidmatan maklumat dan komunikasi serta e-dagang yang menyederhana berbanding pertumbuhan tahunan kira-kira lapan peratus sebelum dilanda pandemik COVID-19 kepada paras di bawah enam peratus antara 2020 dan 2022.

“Pertumbuhan sektor ini diunjurkan meningkat kepada enam dan lapan peratus tahun ke tahun pada separuh kedua 2023 berikutan kenaikan pelaburan ekonomi digital sehingga tiga kali ganda, dalam keadaan pertumbuhan penggunaan yang mampan,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata Malaysia memperoleh komitmen pelaburan sebanyak RM5.2 bilion dalam sektor ekonomi digital dari China (RM3 bilion) dan Singapura (RM2.2 bilion).

Fahmi berkata, pelaburan dalam sektor ekonomi digital yang dibawa masuk oleh kementerian itu pada setengah tahun pertama 2022 adalah RM7.5 bilion manakala pada setengah tahun pertama 2023 adalah RM28.4 bilion.

Memetik tinjauan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSN), Kim Leng berkata antara faktor yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital adalah peningkatan penggunaan komputer, teknologi maklumat dan kehadiran dalam web oleh perniagaan di semua sektor.

Tinjauan suku tahunan itu turut mendedahkan bahawa pendapatan e-dagang meningkat sebanyak 10.4 peratus tahun ke tahun kepada RM291.7 bilion pada suku pertama 2023, dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Sehubungan itu, Kim Leng berkata, dengan unjuran pertumbuhan enam hingga lapan peratus pada setiap tahun dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sektor ekonomi digital berada di landasan untuk meningkat kepada satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

“Dasar e-kerajaan dan inisiatif pendigitalan yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian, termasuk dorongan oleh bank pusat untuk mempercepat pembayaran digital dan perkhidmatan perbankan dijangka merangsang trajektori pertumbuhan ekonomi digital.

“Selain itu, pelancaran 5G berserta penerimagunaan digital yang lebih pesat dalam kalangan perniagaan dan industri bagi memenuhi permintaan pelanggan dan perniagaan yang semakin meningkat akan menggalakkan keusahawanan, inovasi dan produktiviti yang akan menjana pertumbuhan dalam ekonomi digital.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon