LIMA '23 perkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau industri aeroangkasa, maritim - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


LIMA ’23 perkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau industri aeroangkasa, maritim

LIMA ’23 perkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau industri aeroangkasa, maritim

24 Mei 2023

Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau industri aeroangkasa dan maritim, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ini selepas Malaysia dilihat turut memainkan peranan penting kepada pertumbuhan industri aeroangkasa dan maritim global yang dinilai lebih RM1.3 trilion pada 2021.

Jelasnya, keupayaan negara dibuktikan apabila LIMA ’23 yang masuk kali ke-16 penganjurannya, bukan menjadi pameran ketenteraan semata-mata, sebaliknya turut berjaya menarik minat pihak antarabangsa untuk menyertainya.

“Sebagai Perdana Menteri, saya berbangga mengatakan bahawa Malaysia berjaya memainkan peranan penting kepada pertumbuhan global dalam industri aeroangkasa dan marin.

“LIMA ’23 bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau kepada industri aeroangkasa dan maritim apabila berjaya mengumpul pelbagai pihak yang terbabit dalam industri berkenaan.

“Semua yang dilakukan ini diharap dapat membantu negara mempercepatkan usaha merealisasikan semua rancangan dalam Blueprint Industri Aeroangkasa Malaysia dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama LIMA ’23 di Dewan Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Aizah Wan Ismail meluangkan masa meninjau dan mendengar taklimat daripada pempamer industri pertahanan aeroangkasa dan maritim yang menyertai LIMA ’23.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak penganjuran kali pertama pada 1991, LIMA ’23 kini berjaya berkembang menjadi pameran utama bagi industri aeroangkasa dan maritim di rantau Asia Pasifik.

Katanya, keunikan LIMA ’23 terletak pada gabungan pempamer yang juga penggiat utama dalam sektor aeroangkasa dan maritim global.

“Apa yang bermula sebagai pameran pertahanan berubah menjadi tarikan apabila 40 peratus elemen komersial turut dimasukan ke dalam LIMA sejak 2019 bagi menarik negara, pemain industri, pasukan keselematan menyertainya.

“LIMA ’23 menyaksikan penyertaan terbesar sejak penganjurannya diadakan apabila berjaya menarik penyertaan 600 pempamer, 45,000 pelawat komersial dan 450 individu kenamaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon