B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lawatan Anwar ke China bakal semarakkan hubungan strategik KL-Beijing

Lawatan Anwar ke China bakal semarakkan hubungan strategik KL-Beijing

29 Mac 2023

Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China mulai Khamis bakal membuka lembaran baharu dalam mengukuhkan hubungan strategik antara Kuala Lumpur dan Beijing ke arah yang lebih komprehensif.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke negara Asia Timur sejak menjadi perdana menteri pada November lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata lawatan ini bersejarah dan bermakna, mengambil kira bahawa perdana menteri telah menerima undangan daripada kerajaan China untuk mengadakan lawatan hanya selepas empat bulan memegang tampuk pentadbiran negara.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China manakala kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 tahun hubungan diplomatik pada 2024.

“Ini jelas sekali menunjukkan hasrat kerajaan China, khususnya Presiden Xi Jinping yang baharu dilantik sebagai Presiden China untuk penggal ketiga, untuk memupuk hubungan yang rapat dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada media di sini lewat malam tadi.

Zambry berkata Anwar juga antara pemimpin dunia terawal yang melawat Beijing selepas pelantikan semula Xi pada awal bulan ini.

Perdana Menteri dijangka tiba sini pada petang Khamis selepas menghadiri Forum Tahunan Boao untuk Asia di Hainan dan ketibaan beliau di sini dijadualkan akan disambut oleh Timbalan Menteri Luar China Sun Weidong.

Zambry berkata Anwar dijadualkan mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Xi pada Jumaat, dan perbincangan akan tertumpu kepada langkah-langkah baharu yang boleh diambil dalam pelbagai bidang untuk menyemarakkan lagi hubungan dua hala.

“Mereka juga akan membincangkan langkah-langkah konkrit yang boleh diambil dalam bidang perdagangan, kerjasama politik, pencegahan rasuah dan isu-isu ketamadunan,” katanya.

Zambry berkata kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pendapat mengenai hala tuju hubungan dua hala mengambil kira senario antarabangsa yang semakin mencabar.

Ini disusuli dengan pertemuan bersama Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan China Zhao Leji dengan perbincangan akan tertumpu kepada kerjasama pada peringkat ahli-ahli Parlimen kedua-dua negara.

Pada petang Sabtu, Anwar akan diraikan oleh Perdana Menteri China Li Qiang dengan upacara sambutan Rasmi di Great Hall of the People, dan disusuli dengan mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara.

“Perbincangan kedua-dua pemimpin akan tertumpu kepada pemerincian langkah-langkah yang boleh diambil khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” kata Zambry.

Beliau berkata selain menentukan usaha konkrit untuk meningkatkan perdagangan dan hubungan lebih erat antara kedua negara, Anwar juga dijangka membincangkan isu-isu berkepentingan bersama semasa pertemuannya bersama pemimpin-pemimpin China termasuk isu geopolitik antarabangsa dan serantau, serta sekuriti dan kestabilan di Indo-Pasifik. 

Sementara itu, perdana menteri juga akan menyampaikan syarahan umum di Universiti Tsinghua, antara universiti tersohor di China selain menghadiri mesyuarat meja bulat bersama pelabur-pelabur berprofil tinggi dan tokoh-tokoh korporat China.

Beliau dijadualkan menyampaikan ucaptama pada satu forum perniagaan yang akan disertai hampir 1,000 orang peserta dari Malaysia dan China semasa dalam rangka lawatan rasmi ke sini. 

Di sebalik jadual padat, Anwar juga akan menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di China dan yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Malaysia-China.

Program tersebut juga akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin komuniti Islam di China, kata Zambry.

Sepanjang lawatan rasmi tiga hari itu, sekurang-kurangnya 14 memorandum persefahaman (MoU) berkaitan perdagangan dan pertanian akan ditandatangani.

Selain Zambry, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing akan turut serta dalam delegasi itu. 

China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009. Nilai perdagangan antara Malaysia dan China pada 2022 mencecah 17.1 peratus dari jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trillion.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua pada 2022 ialah RM487.13 billion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon