KTG lantik Howellcare sebagai kontraktor kilang sarung tangan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KTG lantik Howellcare sebagai kontraktor kilang sarung tangan

KTG lantik Howellcare sebagai kontraktor kilang sarung tangan

24 Dis 2020

APPI Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh KTG Bhd, telah melantik Howellcare Industries Sdn Bhd sebagai kontraktor ‘turnkey’ atau siap guna bagi pembinaan kilang sarung tangan yang menelan kos RM54.8 juta di Kamunting, Perak.

Dalam kenyataan hari ini, KTG berkata Howellcare akan merancang, merekabentuk, membekal, memasang dan mentauliahkan penggunaan bagi empat unit atau barisan kemudahan celupan sarung tangan getah nitril-butadiena dan empat kemudahan sistem sokongan bagi kilang yang dibina berhampiran kilang sedia ada.

“Oleh kerana permintaan terhadap sarung tangan amat mendadak dengan senarai menunggu sehingga lebih setahun lamanya sejak penularan COVID-19 awal tahun ini, kami percaya memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai akan membantu syarikat ini merebut peluang lebihan pesanan di pasaran,” kata Pengarah Eksekutif KTG Sim Chiun Wee.

Beliau berkata, ketidakseimbangan permintaan dan penawaran dalam industri sarung tangan dijangka kembali kepada asal selepas 2022 walaupun harga jualan purata dijangka susut.

“Malah, selepas itu pun, penggunaan sarung tangan dijangka melonjak pasca COVID-19 berikutan peningkatan kesedaran mengenai pandemik dan penyakit,” katanya.

Sim berkata kapasiti pengeluaran bagi setiap barisan kemudahan itu dijangkakan kira-kira 241.92 juta helai sarung tangan setahun.

Ini menjadikan jumlah kapasiti pengeluaran dan output yang dijangkakan untuk keempat-empat barisan pengeluaran berkenaan adalah kira-kira 967.68 juta helai sarung tangan setahun.

Menurutnya, sasaran kapasiti pengeluaran syarikat itu yang sebelum ini terbabit dalam pengeluaran produk seramik, adalah sehingga 2.4 juta helai sarung tangan sebulan.

KTG yang sebelum ini dikenali sebagai DWL Resources Bhd, adalah antara syarikat seramik tertua di negara ini dengan sumber utama pendapatannya daripada perdagangan, pembuatan, eksport dan pemasaran pasu dan bekas seramik.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon