B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KT Express Logistics, Invest Kedah meterai kerjasama bangunkan hab e-dagang

KT Express Logistics, Invest Kedah meterai kerjasama bangunkan hab e-dagang

20 Jan 2022

Syarikat logistik KT Express Logistics Sdn Bhd hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Invest Kedah Bhd untuk membangunkan sebuah hab e-dagang dan logistik di Bukit Kayu Hitam melibatkan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif KT Express Logistics Datuk Affendi Mohamed Zain berkata hab e-dagang dan logistik itu akan mengendalikan aktiviti import dan eksport barangan melalui jalan darat melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand dan akan dibangunkan secara berfasa untuk tempoh lima tahun.

“Projek yang akan dibangunkan di Bukit Kayu Hitam itu akan melibatkan  tiga fasa yang  akan bermula pada April depan.  Kita letak tempoh maksimum untuk membangunkan hab ini selama lima tahun tetapi kalau dapat disiapkan dengan lebih cepat, lebih bagus.

“Pada permulaan, kita menjangka sebanyak dua hingga lima kontena untuk menghantar barangan di hab ini dan setiap kontena dianggarkan mampu membawa antara 2,000 dan 8,000 kotak barangan bergantung kepada saiz kotak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran Pusat E-Dagang Bukit Kayu Hitam dan MoA itu di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi negeri Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Kedah Muhamad Mahazi Ibrahim menandatangani MoA itu bagi pihak Invest Kedah yang juga merupakan syarikat di bawah kerajaan Kedah.

KT Express Logistics pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Affendi Mohamed Zain dan Ketua Pegawai Operasi Mohd Shamsuri Abdul Aziz. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoA tersebut.

Affendi berkata pihaknya memilih Bukit Kayu Hitam sebagai lokasi untuk membangunkan hab tersebut berikutan melihat potensi yang besar di kawasan itu bagi sektor logistik, selain peningkatan aktiviti pembelian secara e-dagang di negara ini.

“Hab melalui jalan darat ini juga dapat menjimatkan kos pembelian berbanding menggunakan jalan udara dan ia  juga dapat membantu pertumbuhan peniagapeniaga kecil yang mempunyai produk berkuantiti kecil di negara ini untuk mengeksport dan menghantar barangan tempatan terus kepada pelanggan melalui jalan darat,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata persefahaman antara Invest Kedah dan KT Express Logistics itu dilihat sebagai petanda positif untuk pelaburan dan pembangunan ekonomi di Kedah bagi permulaan tahun 2022.

“Anggaran pelaburan (RM1 bilion) ini satu jumlah yang agak besar dan ini akan dapat menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai pusat logistik antarabangsa, sejajar dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035.

“Saya harap pelaksanaannya dapat disegerakan secepat mungkin demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon